Penganalisis politik, Dr Hussain Yusri Zawawi.

KUALA LUMPUR – Isu pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) bukan perkara baharu dan memang sepatutnya ditentukan oleh mahkamah, bukannya diputuskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) di peringkat negeri.

Pensyarah Kanan Fakulti Undang-undang dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr. Hussain Yusri Zawawi berkata, mana-mana rumah ibadat yang dibina tanpa kebenaran atau kelulusan sah daripada PBT boleh dianggap tidak mematuhi peruntukan undang-undang sedia ada, khususnya jika melibatkan isu pencerobohan tanah.

“Dalam isu tanah, kita perlu faham maksud pencerobohan itu sendiri. Ia berlaku apabila sesuatu premis didirikan tanpa perjanjian atau pajakan yang sah dengan pemilik tanah,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, hari ini.

Beliau menjelaskan, sekiranya berlaku pencerobohan, tindakan awal sepatutnya diambil oleh pemilik tanah dengan mengeluarkan notis kepada pihak terlibat.

Namun katanya, persoalan timbul apabila ada kes pemilik tanah mendakwa tidak mengetahui pembinaan tersebut sehingga tindakan penguatkuasaan diambil kerajaan.

“Persoalannya, betul atau tidak pemilik tanah tidak tahu? Dalam kebanyakan kes, perkara ini perlu disiasat secara menyeluruh kerana ia melibatkan hak milik dan tanggungjawab undang-undang,” ujarnya.

Mengulas keputusan terkini oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), beliau yang juga penganalisis politik mempersoalkan, sama ada keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira pandangan perundangan secara komprehensif, memandangkan isu tanah dan pencerobohan terletak di bawah bidang kuasa negeri serta tertakluk kepada proses mahkamah.

“Isu ini bukan bidang utama MKN kerana MKN lebih tertumpu kepada aspek keselamatan. Walaupun sesuatu perkara itu boleh dibawa di bawah peruntukan MKN 2016, tafsiran undang-undang tetap berada di bawah kuasa mahkamah,” jelasnya.

Tambah beliau, sekiranya sesuatu keputusan didapati bercanggah dengan undang-undang atau Perlembagaan, mahkamah mempunyai kuasa mutlak untuk membuat tafsiran dan menentukan kesahihannya.

“Tanah adalah bidang kuasa negeri dan sebarang pertikaian berkaitan tafsiran undang-undang perlu diputuskan oleh mahkamah. Itu saluran yang betul dalam memastikan keadilan dan kedaulatan undang-undang terpelihara,” katanya.

Semalam, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Selangor
telah memutuskan tiga langkah dilaksanakan sekiranya berlaku pencerobohan tanah termasuk pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan di negeri tersebut.

Jelasnya, langkah pertama ialah membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dilaksanakan dan sekiranya terbukti, proses pendakwaan bagi kesalahan pencerobohan akan bermula.

Selain itu turut lakukan menghantar notis kepada pihak penceroboh dan makluman secara rasmi kepada Pejabat Daerah dan Jawatankuasa Keselamatan Daerah (JKD) yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah telah diaktifkan di semua daerah di Selangor.

JKD sebagai pengantara akan memanggil semua pihak termasuk pemilik tanah, pemilik rumah ibadat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan bagi mencapai penyelesaian yang munasabah.

Menurutnya, sekiranya proses ini tidak membuahkan hasil, JKD akan menasihatkan supaya proses mahkamah diteruskan oleh pemilik tanah. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast