MELAKA – Pelajar kolej berusia 18 tahun tergamak membawa mayat bayi perempuan yang baru dilahirkannya sebelum membuangnya di tandas awam wanita di Taman Bandaraya Bukit Serindit, di sini pagi tadi.
Menurut sumber, suspek bertindak demikian kira-kira jam 8.30 malam tadi untuk menyembunyikan kelahiran bayi terbabit hasil hubungan terlarang bersama teman lelakinya.
“Suspek dipercayai melahirkan anaknya itu di rumah keluarganya terletak dua kilometer dari lokasi kejadian.
“Remaja berkenaan kemudian membungkus bayinya itu menggunakan kain telekung sebelum memasukkannya ke dalam beg.
“Ibu muda itu yang dalam keadaan lemah kemudian menunggang motosikal membawa mayat bayinya itu untuk ditinggalkan, dalam tandas,” katanya.
Tambahnya, suspek dipercayai bertindak sendirian sebelum mayat bayi ditemui orang awam kira-kira jam 9.40 pagi tadi.
Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar mengesahkan penahanan suspek yang masih bujang itu di wad Hospital Melaka ketika sedang menerima rawatan selepas dipercayai mengalami pendarahan akibat bersalin
Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan cara sulit membuang mayat bayi.
Siasatan lanjut termasuk laporan bedah siasat sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian bayi berkenaan. – MalaysiaGazette
















