KUALA LUMPUR – Warganegara Malaysia yang cemerlang dalam bidang akademik dan bukan akademik dipelawa untuk memohon Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) bagi tahun 2026.
BYDPA, yang turut dikenali sebagai King’s Scholarship, merupakan biasiswa paling berprestij di bawah JPA dan antara penajaan tertinggi Kerajaan bagi melahirkan pemimpin akademik dan profesional bertaraf dunia.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkata, biasiswa ini menyasarkan individu berpotensi tinggi yang menunjukkan kecemerlangan secara holistik merangkumi pencapaian akademik, penglibatan bukan akademik, kepimpinan yang unggul serta komitmen terhadap pembangunan negara.
Biasiswa ini ditawarkan kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana (Penyelidikan) dan Doktor Falsafah (Ph.D) secara sepenuh masa di institusi pengajian tinggi tempatan atau universiti terkemuka dunia dalam bidang-bidang yang memberi impak besar kepada negara, seperti berikut:
● Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM)
● Ekonomi
● Undang-Undang
● Kewangan Islam
● Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence)
Calon yang berminat boleh mengemukakan permohonan secara dalam talian melalui portal rasmi JPA di https://penajaan.jpa.gov.my bermula hari ini hingga 6 Mac 2026.
Selepas melengkapkan borang permohonan, pemohon hendaklah:
● mencetak dan menandatangani borang permohonan;
● melampirkan dokumen sokongan yang diperlukan; dan
● mengemukakan dokumen lengkap kepada JPA sebelum atau pada 13 Mac 2026 (Jumaat) melalui serahan tangan atau pos ke alamat berikut:
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam
Jabatan Perkhidmatan Awam
Bahagian Pembangunan Modal Insan
Aras 3, Blok C2, Kompleks C
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62510 PUTRAJAYA
(u.p: Unit Pengurusan Penawaran Dalam Perkhidmatan)
Permohonan ini juga dibuka kepada pegawai awam, tertakluk kepada syarat-syarat umum permohonan kemudahan cuti belajar yang berkuat kuasa.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi talian 03 – 8885 3569/ 3438/ 3879/3571 atau e-mel kepada [email protected]. – MalaysiaGazette















