Tangkap layar video tular berunsur perkauman yang sedang disiasat MCMC.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menyiasat lebih 40 akaun yang menyebarkan video viral yang mendakwa gangster India mencederakan pemilik tanah Melayu dalam tempoh 24 jam lalu.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ia membabitkan lebih 40 akaun Facebook dan hampir 10 akaun TikTok di mana kandungannya disyaki tingkah laku tidak tulen terselaras (CIB) berunsurkan perkauman.

“Didapati dalam tempoh 24 jam yang lalu, satu berita ‘viral’ yang pada awalnya didakwa membabitkan seorang gangster India yang mencederakan seorang tuan tanah Melayu dan terdapat elemen dan bibit perkauman yang cuba diselitkan.

“Hampir semua daripada ‘posting’ ini menggunakan video yang sama menggunakan ayat yang sama,” katanya yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan pasca mesyuarat Jemaah Menteri di kementeriannya di sini hari ini.

Semalam, polis mengesahkan insiden video tular memaparkan sebuah kenderaan pacuan empat roda melanggar sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki di Kampung Sungai Jernih, Kajang tidak membabitkan unsur gangsterisme atau isu perkauman.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan awal mendapati motif kejadian itu berpunca daripada pertikaian peribadi berkaitan isu tanah serta laluan lori di kawasan berkenaan.

Mengulas lanjut, Fahmi memberi amaran agar sebarang cubaan mengapikan sentimen perkauman tidak disebarkan.

“Proses siasatan berkait sebaran maklumat ini sedang berjalan dan sebarang percubaan untuk mengapikan sentimen perkauman tidak akan diterima dan pihak berkuasa akan mengambil tindakan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Fahmi turut memberitahu, MCMC juga mengenal pasti 19 akaun media sosial dipercayai palsu yang terbabit dalam aktiviti CIB dengan menyebarkan maklumat atau komen tidak sepatutnya ketika siaran langsung sidang Parlimen.

Media sebelum ini melaporkan siaran langsung persidangan Parlimen menjadi medan penyebaran mesej berunsur kebencian dan maklumat tidak benar serta menggesa tindakan proaktif bagi menangani perkara itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast