Teresa Kok

KUALA LUMPUR – Badan penyiasat atau jawatankuasa khas yang ditugaskan untuk meneliti perkara berkepentingan nasional mesti terdiri daripada individu yang bebas dan dilihat bebas.

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata, tanpa perlindungan asas itu, proses berkenaan berisiko dianggap sekadar satu usaha institusi yang tidak mempunyai kredibiliti.

Menurut beliau, Jawatankuasa Khas siasatan isu pemilikan saham Tan Sri Azam Baki yang ditubuhkan kerajaan semalam, berisiko mengulangi kelemahan struktur yang sama seperti pasukan petugas khas yang menyiasat skandal 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) yang mempunyai kaitan dengan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak, pada 2015.

Katanya, hal itu amat membimbangkan memandangkan keseriusan dakwaan yang terlibat serta implikasinya terhadap kepercayaan awam terhadap institusi tadbir urus.

“Pasukan petugas berkenaan (siasatan 1MDB) dilihat secara meluas sebagai tidak berkesan dan akhirnya menjadi kegagalan besar, runtuh dalam kontroversi, campur tangan institusi, serta kehilangan keyakinan awam.

“Bukannya meningkatkan kredibiliti, komposisinya telah menjejaskan kepercayaan terhadap integriti proses siasatan.

“Atas sebab inilah, penyertaan Peguam Negara sebagai ketua atau anggota jawatankuasa semasa menimbulkan kebimbangan yang mendalam,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Naib Pengerusi DAP itu menggesa kerajaan untuk memastikan bahawa sebarang mekanisme siasatan yang ditubuhkan mencerminkan kebebasan institusi yang sebenar, dan bukannya mengulangi model yang pernah gagal.

Tegasnya, anggota utama mana-mana jawatankuasa yang menyiasat dakwaan tersebut mestilah individu yang tidak mempunyai kepentingan institusi secara langsung terhadap hasil siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Teresa menambah, jika kerajaan benar-benar menghargai integriti serta komitmen awamnya untuk memerangi rasuah tanpa takut atau pilih kasih, maka ia mesti membuktikan tekad tersebut melalui tindakan yang konkrit.

“Sehubungan itu, saya menyokong dan mengulangi gesaan yang dibuat oleh Wong Chen agar Tengku Maimun Tuan Mat dilantik untuk mempengerusikan sebuah jawatankuasa bebas bagi menyiasat dakwaan serius ini.

“Beliau diakui oleh sebahagian besar rakyat Malaysia sebagai mempunyai kelayakan yang cemerlang, integriti yang tidak diragui, serta rekod kebebasan yang terbukti. Penglibatan beliau akan serta-merta meningkatkan kredibiliti, keyakinan awam, dan legitimasi proses siasatan,” ujarnya lagi.

Tambah Teresa, dalam perkara yang begitu penting kepada negara, keadilan bukan sahaja mesti dilaksanakan, tetapi juga mesti jelas dan nyata dilihat dilaksanakan tanpa sebarang keraguan. -MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast