Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sindiket perkhidmatan perubatan tanpa lesen yang beroperasi secara tersembunyi di sebalik premis perniagaan sah terbongkar selepas serbuan besar-besaran oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sekitar Jalan Tun Tan Siew Sin, Pudu, petang semalam.

Operasi khas bermula jam 4 petang itu melibatkan Pasukan Taktikal Khas (Pastak) JIM dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur, hasil risikan selama dua minggu.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Lokman Effendi Ramli mendedahkan seramai 18 lelaki berusia antara 24 hingga 51 tahun ditahan, termasuk enam individu yang menyamar sebagai ‘doktor’ dan memberikan rawatan kepada komuniti warga asing.

Menurutnya, kegiatan haram itu dijalankan secara terselindung dengan menggunakan premis seperti kedai runcit, kedai kain, restoran, kaunter pelancongan dan kedai gunting rambut sebagai ‘topeng’ operasi.

“Bahagian belakang premis diubah suai menjadi bilik rawatan serta tempat simpanan ubat-ubatan yang tidak berdaftar,” katanya kepada media.

Beliau berkata, kebanyakan pelanggan terdiri daripada warga Bangladesh yang memilih mendapatkan rawatan di situ kerana kos lebih murah serta kemudahan komunikasi dalam bahasa ibunda.

Pemeriksaan turut menemukan pelbagai jenis ubat yang sepatutnya hanya dibekalkan melalui preskripsi doktor pakar, termasuk ubat diabetes, darah tinggi, kolesterol, antibiotik dan ubat tahan sakit.

“Semua ubat yang dirampas tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia,” ujarnya.

Siasatan awal mendapati bekalan ubat dipercayai dibawa masuk dari Bangladesh dalam kuantiti besar oleh pelancong sebelum diedarkan ke premis terlibat dan dijual pada harga antara RM50 hingga RM100.

Kesemua 18 individu, terdiri daripada 17 warga Bangladesh dan seorang warga Myanmar, ditahan bagi membantu siasatan di bawah Akta Jualan Dadah 1952 serta Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen sah, salah guna pas dan tinggal lebih masa.

Lokman Effendi berkata pihaknya akan meneruskan operasi bersepadu bagi membanteras kegiatan perubatan haram yang boleh mengancam keselamatan dan kesihatan awam. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast