Tan Sri Noh Om

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Noh Omar, hari ini mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa serta-merta susulan rasa kecewa terhadap apa yang berlaku dalam parti itu.

Beliau berkata keputusan MPT pada Januari lalu untuk menangguhkan semua tindakan disiplin tidak dihormati oleh Lembaga Disiplin.

“Saya ingin tegaskan dalam mesyuarat MPT pada Januari lalu, keputusan telah dibuat supaya semua tindakan disiplin ditangguhkan,” katanya dalam satu video dimuat naik dalam Facebook beliau sebentar tadi.

Noh mempersoalkan mengapa tindakan disiplin masih diteruskan terhadap ahli parti walaupun keputusan penangguhan telah dipersetujui.

“Persoalannya, mengapa Lembaga Disiplin terus mengambil tindakan? Adakah Lembaga Disiplin tidak menghormati keputusan MPT yang lebih berkuasa?” katanya.

Menurutnya, beberapa mesyuarat pengukuhan parti telah diadakan bagi merancang usaha mengembalikan perpaduan dalam Bersatu.

“Kita telah bermesyuarat beberapa kali untuk merancang bagaimana cara mengembalikan perpaduan parti. Tetapi sebelum usaha itu dapat dilaksanakan, tindakan disiplin telah diambil,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa semua parti mempunyai hak mengambil tindakan terhadap ahlinya, namun ia mesti dibuat mengikut peraturan dan perlembagaan parti.

“Semua parti ada hak mengambil tindakan disiplin kepada mana-mana ahli, tetapi tindakan itu mesti diambil mengikut peraturan dan perlembagaan parti. Prinsip saya, ‘nobody above the law’,” tegasnya.

Noh berkata pendiriannya konsisten dengan pengalaman beliau sebelum ini.

“Sebab itulah semasa saya dalam UMNO dahulu, apabila tindakan disiplin diambil terhadap saya, saya minta dipecat sahaja,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast