KUALA LUMPUR – Tindakan memecat 17 pemimpin kanan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan langkah terlalu keras, sebaliknya dibuat mengikut peruntukan perlembagaan parti, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Beliau berkata semua individu yang terlibat, termasuk bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin, masih diberikan ruang untuk mengemukakan rayuan melalui mekanisme dalaman parti.
“Tindakan ini bukan hukuman tanpa peluang. Mereka diberi tempoh 14 hari untuk membuat rayuan. Dalam Bersatu, kita ada mekanisme yang jelas,” katanya kepada media selepas Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) di sini, hari ini.

Azmin menegaskan keputusan Lembaga Disiplin dibuat berdasarkan aduan serta bukti yang dikemukakan, selain melalui proses siasatan yang teratur.
Beliau turut menegaskan tiada mana-mana individu yang kebal daripada tindakan disiplin, tanpa mengira jawatan atau kedudukan dalam parti.
“Jelas, tiada siapa pun terkecuali. Semua tertakluk kepada peraturan yang sama,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Azmin berkata, isu kedudukan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang tidak dibincangkan secara khusus dalam Mesyuarat Khas MPT hari ini.
“Kita akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi dalam masa terdekat. Buat masa ini, kita meneliti dahulu kedudukannya sebab beliau bukan lagi ahli parti,” jelasnya.
Menurut beliau, berdasarkan keputusan Lembaga Disiplin semalam, hak keahlian Hamzah telah dilucutkan dan proses rayuan akan bermula dalam tempoh 14 hari.
“Kalau mengikut keputusan itu, proses rayuan akan berjalan dalam tempoh yang ditetapkan. Kita akan ikut peruntukan perlembagaan,” katanya.
Semalam, Hamzah yang sebelum ini merupakan Timbalan Presiden Bersatu, menjadi antara 17 pemimpin parti yang dipecat keahlian oleh Lembaga Disiplin.
Keputusan itu dimaklumkan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan, kepada Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menerusi satu notis rasmi bertarikh semalam.
Notis tersebut memaklumkanLembaga Disiplin menerima aduan bertulis daripada ahli Bersatu terhadap responden terbabit berhubung dakwaan pelanggaran peruntukan Perlembagaan serta Kod Etika Tatakelakuan ahli parti.
Mengulas lanjut, Azmin berkata, Mesyuarat Khas MPT hari ini turut membincangkan langkah memperkukuhkan struktur organisasi dan gerak kerja parti susulan perkembangan itu.
“Kita menerima banyak pandangan dan cadangan daripada ahli MPT. Fokus kita sekarang ialah memastikan kestabilan parti dan gerak kerja di peringkat bahagian terus berjalan,” katanya.
Beliau berkata kepimpinan juga memberi perhatian kepada usaha membina semula kekuatan parti di kawasan yang terkesan, selain membuat persiapan awal menghadapi cabaran politik akan datang.
“Yang penting, parti terus bergerak ke hadapan secara tersusun dan berdisiplin,” katanya.
Azmin bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai sebarang perubahan kepimpinan, sambil menegaskan, semua keputusan akan dibuat berdasarkan perlembagaan dan proses sedia ada.
“Kita akan buat keputusan mengikut lunas parti,” katanya. -MalaysiaGazette















