KUALA LUMPUR -Sumber pengeluaran bekalan barangan makanan asas seperti telur, daging ayam, daging lembu, ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan di seluruh negara adalah stabil dan mencukupi.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan berkata, ia berdasarkan data pemantauan semasa.
Katanya, kementerian terus komited dalam memastikan ketersediaan bekalan makanan negara berada pada tahap optimum bagi menampung keperluan domestik sepanjang musim perayaan Tahun Baru Cina dan bulan Ramadan akan datang.
“Dalam hal ini, Kementerian memberi tumpuan kepada pengurusan serta pemerkasaan di peringkat sumber pengeluaran bagi memastikan kesinambungan bekalan sentiasa terjamin meskipun terdapat jangkaan peningkatan permintaan yang tinggi,” katanya.
Pada tahun 2026, bermula 1 Januari hingga 8 Februari 2026, sebanyak 478 program Jualan Agro Madani (JAM) telah dianjurkan di seluruh negara.
Melalui program JAM, rakyat dapat membeli barangan keperluan asas yang terpilih pada harga 10 peratus hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran setempat.
Sempena menyambut Tahun Baru Cina, Ramadan dan Pra-Syawal (Februari dan Mac 2026), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bakal menganjurkan sebanyak 572 program JAM di seluruh negara melibatkan 430 program di outlet peruncitan FAMA dan 142 program di premis-premis Kerajaan serta kawasan- kawasan perumahan yang terpilih.
Program ini menawarkan bekalan sayur, buah, ikan, telur, barangan runcit dan keperluan lain dengan harga yang lebih rendah untuk membantu meringankan beban kos sara hidup pengguna sempena musim perayaan dan Ramadan.
Justeru itu, matlamat utama Kerajaan adalah bagi memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat akses kepada bekalan makanan yang mencukupi sepanjang tempoh perayaan ini tanpa kebimbangan terhadap isu ketersediaan bekalan di pasaran. -MalaysiaGazette















