KUALA LUMPUR – Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan tindakan disiplin termasuklah pemecatan terhadap beberapa pemimpin parti adalah langkah yang perlu diambil bagi menyelamatkan dan memperkukuhkan parti tersebut daripada terus disabotaj dari dalam.
Beliau berkata, Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang dipengerusikannya hari ini membincangkan langkah-langkah memperkukuhkan parti susulan tindakan disiplin terhadap beberapa ahli.
“Tindakan disiplin adalah sebahagian daripada mekanisme dalam perlembagaan parti untuk memastikan parti terus stabil dan kukuh. Ia bukan diambil secara sewenang-wenangnya, terutamanya apabila melibatkan pemimpin kanan,” katanya hari ini.
Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh menjelaskan, sebelum tindakan diambil, pelbagai usaha mencari perdamaian telah dibuat melalui siri pertemuan dan perbincangan, namun tidak berhasil.
“Usaha ini tidak berhasil. Malah terdapat segelintir pihak yang secara berterusan melakukan sabotaj terhadap parti dengan tujuan memecah-belahkan parti dan menggagalkan matlamat perjuangan,” dedah beliau.

Menurut beliau, sebagai presiden dan pengasas parti, beliau bertanggungjawab memastikan Bersatu terus berada di atas landasan perjuangan yang sebenar.
“Saya tidak rela melihat parti ini dirosakkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya lagi.
Muhyiddin turut mendedahkan beliau selama ini mengambil pendekatan berhemah dalam menghadapi tekanan dalaman, termasuk memberi ruang dalam kepimpinan kepada individu yang menentangnya.
“Saya bersangka baik demi memastikan parti terus bersatu-padu, kukuh dan dapat menjayakan matlamat perjuangan parti. Malangnya usaha ini tidak dihargai,” katanya.
Namun, beliau berkata, tindakan bercanggah dengan perlembagaan dan disiplin parti telah dilakukan secara berterusan dan jika dibiarkan, ia akan merosakkan parti serta mengecewakan ahli yang setia.
“Oleh itu, kami bertekad bahawa sudah sampai masanya proses disiplin yang termaktub dalam perlembagaan diambil untuk menyelamatkan parti,” katanya.
Menurutnya, langkah itu merupakan pilihan terbaik ketika ini bagi memulihkan perpaduan dan membina semula kekuatan parti.
Dalam mesyuarat sama, MPT Bersatu sebulat suara bersetuju melantik Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bagi menjalankan tugas timbalan presiden.
Muhyiddin turut menyeru ahli-ahli parti supaya kekal tenang dan memberi sokongan penuh kepada barisan kepimpinan sedia ada.
“Saya yakin dengan semangat kebersamaan dan kesetiaan ahli-ahli kepada perjuangan parti, kita akan dapat mengharungi apa jua cabaran dan dugaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















