KUALA LUMPUR – Datuk Seri Rafizi Ramli menggesa satu siasatan bebas ditubuhkan susulan dakwaan serius membabitkan MMAG Holdings Berhad yang sebelum ini didakwa disiasat kerana pengubahan wang haram serta isu kerugian modal syarikat berkenaan, selain kaitan pemilikan saham oleh Tan Sri Azam Baki Azam Bakar.
Ahli Parlimen Pandan itu menegaskan, dakwaan tersebut perlu diberi perhatian serius memandangkan MMAG Holdings pernah dikawal oleh bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan kini saham syarikat itu dipegang oleh Azam, sekali gus menimbulkan persoalan yang memerlukan penjelasan terbuka.
Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR berkata, sebelum ini terdapat satu kes melibatkan individu bernama Victor Chin yang disiasat pada 2021 oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan pemindahan wang haram kira-kira RM500 juta.
Beliau mendakwa, wang berkenaan dikaitkan sebagai sebahagian daripada pemindahan dana haram daripada organisasi jenayah untuk dilaburkan semula di pasaran, satu pertuduhan yang disifatkannya sebagai sangat serius.
Bagaimanapun, menurutnya, selepas siasatan dijalankan bersama SPRM, kes tersebut didakwa telah ditutup.
Sehubungan itu, Rafizi berpandangan bahawa sebarang dakwaan melibatkan MMAG Holdings, khususnya berkaitan siasatan pengubahan wang haram dan kerugian modal syarikat, tidak boleh dipandang ringan walaupun ia mungkin belum dibuktikan.
“Tanggungjawab terletak pada kerajaan untuk memulakan siasatan terlebih dahulu. Jika ada walau sedikit bukti bahawa wujud penglibatan ejen kerajaan dalam aktiviti haram, ia sesuatu yang tidak boleh diterima,” katanya
kepada media ketika ditemui pada Himpunan Tangkap Azam Baki di hadapan pusat beli-belah Sogo di sini, hari ini.
Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi turut mempersoalkan kurangnya liputan media terhadap dakwaan bahawa MMAG Holdings pernah disiasat atas tuduhan pengubahan wang haram, sedangkan implikasinya amat besar kepada kepentingan awam.
Mengulas mekanisme siasatan, Rafizi mencadangkan supaya satu tribunal atau suruhanjaya siasatan bebas ditubuhkan dan tidak dikendalikan oleh pihak dalam kerajaan semata-mata.
Menurutnya, amalan sebelum ini menunjukkan siasatan bebas boleh diwujudkan melalui persetujuan Kabinet bagi menubuhkan tribunal khas yang dianggotai bekas hakim dan tokoh berwibawa dengan kuasa memanggil saksi serta mendapatkan dokumen berkaitan.
“Jika ia hanya sekadar pasukan petugas dalam pentadbiran kerajaan, mereka tidak semestinya mempunyai kuasa mencukupi untuk mendapatkan dokumen atau memaksa kerjasama pihak terlibat,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa, isu dakwaan pengubahan wang haram dan kerugian modal membabitkan MMAG Holdings adalah perkara yang melebihi polemik pemilikan saham semata-mata dan wajar diperjelaskan secara menyeluruh demi kepentingan awam. – MalaysiaGazette
















