Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Mitsubishi Xpander kemek dihempap sebatang pokok dekat Pangsapuri Baiduri, Persiaran Tun Arshad Ayub, Seksyen 7, Shah Alam, tengah hari tadi.

SHAH ALAM – Dua wanita parah selepas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Mitsubishi Xpander dihempap sebatang pokok dekat Pangsapuri Baiduri, Persiaran Tun Arshad Ayub, Seksyen 7 di sini tengah hari tadi.

Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu kira-kira pukul 12.11 tengah hari.

“Sepasukan 12 anggota serta dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam digerakkan ke lokasi kejadian selepas lima minit panggilan diterima.

“Setibanya di lokasi, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I, Al Mujid Ali Baba mendapati terdapat sebatang pokok telah tumbang dan menghempap sebuah kereta MPV Mitsubishi Xpander,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Seorang wanita tersepit selepas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Mitsubishi Xpander dinaikinya dihempap sebatang pokok dekat Pangsapuri Baiduri, Persiaran Tun Arshad Ayub, Seksyen 7, Shah Alam, tengah hari tadi.

Ahmad Mukhlis berkata, pihaknya menemukan dua mangsa tersepit dan berjaya menyelamat dan mengeluarkan mangsa daripada kenderaan terbabit kira-kira 1.15 tengah hari.

“Seorang mangsa berusia 38 tahun mengalami kecederaan di bahagian muka dan kepala manakala seorang wanita lagi berumur 41 tahun cedera di bahagian pinggang.

“Kedua-dua mangsa dikejarkan ke hospital terdekat untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Ketika ditanya tentang penumpang lain ketika kejadian, beliau berkata, terdapat dua kanak-kanak di bawah umur.

“Kedua-dua kanak-kanak terbabit dalam keadaan selamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast