Tertuduh, ibu kepada empat anak, didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini selepas mengaku bersalah melakukan aktiviti persundalan di sebuah hotel di bandar Melaka pada 12 Februari 2026.

MELAKA – Ibu kepada empat anak didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini selepas mengaku bersalah melakukan aktiviti persundalan di sebuah hotel di bandar ini, minggu lalu.

Tertuduh, Azwana Sulaiman, 46, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati mencari langganan bagi tujuan persundalan di The Shore Hotel & Residences, Jalan Persisiran Bunga Raya dalam daerah Melaka Tengah kira-kira jam 8.05 malam 12 Februari 2026.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Shauki Mardia Baharudin memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Tertuduh yang diwakili peguam Nigel Tai bagaimanapun merayu agar dikenakan hukuman ringan dengan alasan ibu kepada empat anak itu hanya bekerja sebagai pelayan restoran.

Selain itu, anak guamnya juga perlu menyara dua anak yang masih belajar masing-masing di kolej dan sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah kemudian mengarahkan tertuduh didenda RM2,500 atau empat bulan penjara jika gagal bayar.

Tertuduh membayar denda tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast