PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) enggan mengganggu siasatan dalaman terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang sedang dilakukan Pasukan Petugas Khas Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) ketika ini.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq berkata, sebarang tindakan mahupun keputusan bakal dibuat pihaknya setelah siasatan selesai.
“Kita menunggu sehingga keputusan khas itu keluar, kemudian baru saya akan komen ataupun tindakan susulan seterusnya dilaksanakan. Kita tidak mahu mengganggu-gugat sebarang siasatan ataupun proses yang sedang berjalan.
“Berikan ruang dan peluang kepada pasukan petugas khas itu untuk melaksanakan siasatan secara menyeluruh,” katanya pada sidang media di Menara KBS, di sini, hari ini.

Sebelum ini, barisan Exco FAM meletakkan jawatan secara beramai-ramai, sekali gus membuka laluan kepada penubuhan Pasukan Petugas Khas AFC untuk menjalankan proses penilaian menyeluruh terhadap FAM.
Pasukan Petugas Khas itu diberi mandat untuk menilai, melakukan bedah siasat serta mengenal pasti kelemahan dalam aspek urus tadbir, struktur organisasi dan proses pentadbiran FAM, sebelum mencadangkan langkah penambahbaikan yang perlu dilaksanakan.
Hasil penilaian berkenaan kemudiannya akan dibentangkan kepada semua Ahli Gabungan FAM bagi mendapatkan persetujuan, sebelum proses pemilihan semula kepimpinan FAM dapat diadakan melalui Kongres Pemilihan.
Langkah meletakkan jawatan susulan isu pemalsuan dokumen tujuh pemain negara yang menyaksikan FIFA mula meragui urus tadbir FAM.
Selain itu, kata Taufiq, masih terlalu awal untuk KBS membuat sebarang spekulasi mahupun memberikan maklum balas, malah ia hanya akan mengganggu proses khas tersebut.
“Kita harus tahu bahawa ada pemisahan kuasa antara KBS dan juga persatuan-persatuan sukan dalam negara kita. Ia bukan bidang kuasa KBS untuk hal-hal pentadbiran FAM.
“Saya harap supaya siasatan ini dijalankan dengan baik, dengan telus dan sebarang keputusan ini adalah keputusan yang terbaik untuk persatuan.
“Ia juga ia tidak akan melunturkan semangat khususnya semangat bola sepak yang berada dalam diri setiap rakyat di negara kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















