Muhammad Ridhwan Abd Rahman, 30, dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, selepas mengaku bersalah mencuri puluhan ubat-ubatan termasuk 28 papan paracetamol melibatkan nilai lebih RM853.20 sejak tahun lalu.

MELAKA – Padah mencuri puluhan ubat-ubatan termasuk 28 papan paracetamol melibatkan nilai lebih RM853.20 sejak tahun lalu, seorang buruh dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini.

Majistret, Nur Afiqah Radhiah Zainurin menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Ridhwan Abd Rahman, 30, selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh dan mensabitkannya dengan empat pertuduhan berasingan.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didapati dengan niat curang telah mencuri 21 papan Panadol pelbagai jenis untuk kegunaan sendiri dalam milikan seorang wanita bernilai RM282.80 dari sebuah premis FamilyMart di Sungai Udang di sini kira-kira jam 7.47 malam 28 November 2025.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh telah mencuri empat kotak Panadol Actifast 20s, tujuh papan Panadol Actifast Compact serta tiga kotak Panadol New Blister daripada milikan seorang wanita di sebuah premis FamilyMart di Taman Nirwana, Klebang pada 27 Oktober 2025 kira-kira 4.25 petang.

Tertuduh turut mengaku bersalah mencuri pelbagai ubat-ubatan menyebabkan kerugian bernilai RM248.30 di sebuah premis 7-Eleven di Jalan Rambai Jaya 2, Taman Rambai Jaya pada kira-kira 5.35 petang, 20 November 2025.

Manakala bagi pertuduhan keempat pukul 1.57 petang 29 Januari 2026, Muhammad Ridhwan didakwa sekali lagi mencuri 21 unit Panadol pelbagai jenis bernilai RM322.10 milik FamilyMart di Taman Rambai Jaya.

Bagi pertuduhan pertama, kedua dan keempat, kesalahan didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda, serta bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan sebatan.

Manakala bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Shauki Mardia Baharudin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran memandangkan sifat kesalahan tertuduh yang dilakukan secara berulang kali demi kepentingan peribadi.

Dalam rayuannya, peguam tertuduh, Umar Zulkarnain memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman penjara yang singkat kerana tertuduh adalah pembantu utama keluarga yang bekerja sebagai buruh kasar bersama bapanya.

Beliau turut memohon mahkamah mengambil kira ini adalah kesalahan pertama tertuduh selain telah insaf dan hukuman penjara yang panjang dikhuatiri akan menjejaskan kebajikan ibu bapanya yang uzur.

Majistret kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan bagi setiap kesalahan dan diarahkan berjalan secara berasingan bermula dari tarikh ditangkap menjadikan hukuman dikenakan penjara selama 12 bulan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast