KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mengesahkan beliau telah menghantar surat kepada Pengerusi Lembaga Rayuan parti itu bagi menarik balik rayuan yang difailkannya sekali gus menamatkan polemik berhubung tindakannya dalam parti.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat bagi menutup isu berkenaan secara tuntas.
Dalam kenyataannya, Wan Saiful yang merupakan Ahli Parlimen Tasek Gelugor turut menyentuh antara tuduhan kesalahan yang dikenakan terhadapnya iaitu mengusahakan penubuhan Jawatankuasa Eksekutif dan seterusnya Majlis Presiden dalam Perikatan Nasional (PN).
Beliau mendakwa, tindakan sama kini dilakukan oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menurutnya telah menulis surat kepada presiden-presiden parti dalam PN berkaitan perkara tersebut.
Wan Saiful menyifatkan situasi itu sebagai satu bentuk hipokrasi termasuk melibatkan pihak yang mempertahankan kepimpinan berkenaan.
“Saya mahu sebutkan satu perkara untuk menutup topik ini. Antara tuduhan terhadap saya ialah mengusahakan penubuhan Jawatankuasa Eksekutif dan Majlis Presiden dalam PN. Perkara yang sama dilakukan hari ini,” katanya.
Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai implikasi tindakannya menarik balik rayuan tersebut terhadap kedudukannya dalam parti. – MalaysiaGazette
















