Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra ketika hadir pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina MCA 2026 di Wisma MCA, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 17 FEBRUARI 2026

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri hari ini enggan mengulas ketika ditanya mengenai isu berkaitan parti dan Datuk Rafizi Ramli.

“Janganlah sibuk soal-soal lain, nantilah. Sabar. Lebih baik fokus pada sambutan Tahun Baru Cina,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada media selepas menghadiri sambutan Tahun Baharu Cina anjuran MCA di sini hari ini.

Sebelum itu beliau yang juga Presiden PKR ditanya wakil media sama ada akan mengambil tindakan terhadap kenyataan bekas timbalannya, Rafizi.

Anwar dalam masa sama menggesa semua rakyat untuk tidak sibuk kepada hal-hal lain selain meraikan sambutan Tahun Baru Cina hari ini.

Jelasnya, Tahun Baru Cina seharusnya disambut dengan kemeriahan dengan mengenepikan perkara-perkara yang tidak sepatutnya.

Hadir memeriahkan majlis adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Sebelum ini, Rafizi dalam satu podcast Yang Berhenti Menteri menggesa agar Anwar memecat beliau sebagai ahli parti PKR.

“Kalau tak nak dengar dah suruh keluar parti semua dah tak tahan dengar kritikan pecat sahajalah (saya). Apa yang payahnya, aku pun tak faham bab itu kenapa nak nyet-nyet tapi ialah kalau pecat dia malas nak menjawab,” kata Rafizi.

Bekas Menteri Ekonomi sebelum ini dilaporkan mempersoalkan beberapa tindakan kerajaan termasuklah terbaharu berkaitan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast