KUALA LUMPUR – Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) akan mengemukakan saman sivil terhadap beberapa pihak didakwa menghalang perhimpunan aman dan menahan secara salah bakal para pesertanya pada 7 Februari lalu.
Ketua sementaranya, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, penahanan beliau sebelum himpunan bermula tanpa memaklumkan kesalahan jelas serta tanpa asas undang-undang munasabah adalah satu pencabulan hak di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
“Penahanan tersebut merupakan suatu penahanan yang salah di sisi undang-undang kerana dibuat tanpa sebab munasabah dan tanpa justifikasi undang-undang yang sah.
“Saya akan memfailkan tindakan sivil terhadap kesemua pihak iaitu PDRM, termasuk Ketua Polis Negara; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Malaysia,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu beliau yang juga penasihat undang-undang kepada GARAH membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, kira-kira jam 4.11 petang tadi.
Menurut Haniff, beliau juga akan mengemukakan saman sivil terhadap beberapa pihak lain kerana secara salah dan dengan niat jahat membangkitkan dakwaan palsu kononnya himpunan aman GARAH mengganggu-gugat keamanan rakyat.
“Tindakan ini (saman sivil) akan dibuat terhadap Pusat Komas, Pemuda Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) dan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer.
“Kenyataan dan dakwaan salah dan berniat jahat itu telah mendorong pelbagai individu dalam kalangan masyarakat untuk membuat laporan polis yang tidak betul dan tidak tepat.
“Ia berpandukan gesaan-gesaan kononnya perjuangan GARAH dan tujuan himpunan aman adalah untuk menghasut rakyat serta menimbulkan keretakan keharmonian masyarakat,” katanya.
Selain itu, katanya, saman sivil itu berhubung pengwujudan dan kewujudan laporan polis berkenaan, pucuk pimpinan kerajaan termasuk Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri secara penyalahgunaan kuasa serta campur tangan salah dan dengan niat jahat telah mencampuri urusan polis.
“Pucuk pimpinan kerajaan ini mengarah dan menyebabkan himpunan aman GARAH yang sah itu dihentikan dan bakal-bakal peserta, bakal-bakal penceramah serta saya sendiri sebagai penasihat undang-undang GARAH ditahan secara salah dan berlanggar dengan undang-undang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















