HULU SELANGOR – Seorang wanita maut manakala seorang lagi parah dalam nahas jalan raya membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 433.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, dekat Bukit Beruntung di sini awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, kemalangan melibatkan sebuah lori treler membawa muatan kapur, sebuah kereta Honda City dan sebuah kereta BMW.
“JBPM Selangor menerima panggilan kecemasan 7.33 pagi dan menggerakkan 14 anggota serta tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang ke lokasi kejadian lapan minit kemudian,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Ahmad Mukhlis berkata, setibanya di lokasi kejadian, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I, Mohd Khasyaff Che Hashim menemukan tiga lelaki dan seorang wanita terlibat dalam kemalangan itu.
“Seorang pemandu lori berusia 40-an cedera parah di bahagian kepala, dua mangsa berusia 50an dalam kereta Honda City iaitu lelaki cedera ringan dan penumpang wanita meninggal dunia serta pemandu BMW berumur 30-an selamat.
“Penumpang wanita yang maut itu disahkan kematiannya oleh petugas perubatan di tempat kejadian dan mangsa cedera diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk tindakan selanjutnya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















