KUALA LUMPUR – Kepimpinan Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin sambil menolak sebarang usaha melemahkan kepimpinan melalui tekanan terbuka dan naratif perpecahan.
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, 17 daripada 24 Ahli Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) Srikandi serta 11 daripada 14 Ketua Srikandi Negeri menyatakan pendirian mereka kekal setia kepada parti dan mempertahankan institusi presiden.
Menurut kenyataan itu, mereka berdiri teguh di belakang Muhyiddin sebagai Presiden yang sah dipilih melalui Perhimpunan Agung parti serta akan terus berpegang kepada ketetapan yang telah diputuskan perwakilan.
“Kami kekal setia kepada parti, mempertahankan institusi Presiden dan berdiri teguh di belakang Tan Sri Presiden sebagai Presiden yang sah,” menurut kenyataan itu.
Srikandi turut menegaskan, sebarang percubaan untuk melemahkan kepimpinan melalui tekanan terbuka, naratif perpecahan atau gerakan tersirat adalah perbuatan tidak beretika serta bercanggah dengan semangat perjuangan parti.
Menurut mereka, semua keputusan berkaitan hala tuju sayap dan parti perlu dibuat melalui saluran rasmi, proses musyawarah serta struktur kepimpinan yang sah.
“Tindakan unilateral atau kenyataan individu hanya akan mengundang kekeliruan dalam kalangan ahli serta melemahkan kekuatan parti dari dalam,” jelasnya.
Dalam nada tegas, Srikandi turut menolak budaya politik yang mencetuskan polemik terbuka sehingga mencalar imej parti.
“Kestabilan parti adalah tanggungjawab bersama. Semua ahli perlu menunjukkan kematangan politik dan mengelakkan kenyataan yang boleh mengeruhkan keadaan,” katanya.
Mereka turut menggesa ahli memberi ruang kepada kepimpinan tertinggi parti menguruskan isu semasa mengikut perlembagaan serta saluran yang betul.
Kenyataan itu turut menegaskan fokus utama Srikandi kekal kepada perjuangan parti dan amanah rakyat, selain mempertahankan agama, bangsa dan negara.
Antara pemimpin yang menandatangani kenyataan tersebut ialah Naib Pengerusi Srikandi, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi, Setiausaha Srikandi, Mohamed Azmin Ali, Bendahari, Jumiah Joned, serta Pengerusi Tetap Srikandi, Neng Hayati Hayatullah.
Srikandi turut menyeru seluruh ahli di semua peringkat supaya terus bersatu, tenang dan istiqamah dalam mempertahankan perjuangan parti demi memastikan kestabilan serta kekuatan Bersatu terus terpelihara. – MalaysiaGazette
















