KUALA LUMPUR – Umat Islam di Malaysia mula berpuasa pada hari Khamis ini, 19 Februari 2026, kata Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.
“Bagi menyempurnakan titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengisytiharkan bahawa tarikh permulaan puasa bagi Negeri-Negeri seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari Khamis, 19 Februari 2026,” kata beliau.
Pengumuman itu disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam ini.
Sebelum ini, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja memaklumkan tarikh melihat anak bulan Ramadan ditetapkan pada petang hari ini.
Menurutnya dalam satu kenyataan, jawatankuasa-Jawatankuasa yang berkenaan telah diperkenankan melihat anak bulan Ramadan pada petang hari tersebut di 29 tempat.
Tempat-tempat itu ialah di Baitul Hilal Bangunan Sultan Ismail, Pontian, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka; Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan; Baitul Hilal Bukit Melawati, Kuala Selangor, Selangor Darul Ehsan; Baitul Hilal Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat, Selangor Darul Ehsan; Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam, Selangor Darul Ehsan; Baitul Hilal Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru, Daerah Manjong, Perak Darul Ridzuan; Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang; Stesen Cerapan Hilal Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda, Kedah Darul Aman dan Stesen Cerapan Hilal Pemandangan Indah, Pulau Langkawi, Kedah.
Selain itu, Menara Alor Setar, Kedah; Stesen Cerapan Hilal Bukit Besar, Kuala Terengganu, Terengganu; Stesen Cerapan Hilal Bukit Geliga, Kemaman, Terengganu; Stesen Cerapan Hilal Pulau Perhentian, Besut, Terengganu; Balai Cerap KUSZA, Mukim Merang, Setiu, Terengganu; Stesen Cerapan Hilal Bukit Peraksi, Pasir Puteh, Kelantan; Stesen Cerapan Hilal Bukit Kampong Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram, Kuala Krai, Kelantan dan Stesen Cerapan Hilal Menara Bangunan SEDC, Jalan Tengku Putra Semerak, Kota Bharu, Kelantan.
Pusat Falak Miri, Esplanade Luak, Miri, Sarawak; Teluk Bandung, Kuching, Sarawak; Pusat Falak Bintulu, Sarawak; Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan, Sabah; Tapak Cerapan Hilal Bukit Tanjong Batu, Nenasi, Pahang; Stesen Cerapan Hilal Gunung Brinchang, Cameron Highlands, Pahang; Menara 188, Kuantan Pahang; Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan; Menara Kuala Lumpur, Kuala Lumpur; Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Putrajaya; dan Menara Pandang, Masjid Al-Hussain Kuala Perlis, Perlis.
Menurutnya, Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh awal Ramadan adalah berdasarkan rukyah dan hisab. – MalaysiaGazette















