Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadapnya berhubung Program Visi Silikon dan Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR) merupakan satu bentuk intimidasi susulan pendiriannya yang lantang menuntut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki digantung tugas serta-merta.

Menurut beliau, kedua-dua dasar tersebut dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas melalui proses kelulusan menyeluruh termasuk di peringkat jawatankuasa, Kabinet dan Jemaah Menteri.

Rafizi berkata, laporan terhadapnya dibuat oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) serta beberapa individu perseorangan yang didakwanya bersikap anti Perdana Menteri.

Beliau menjelaskan, NETR dilancarkan pada Ogos 2023 manakala Program Visi Silikon bersama Arm Holdings dimeterai pada Mac 2025 dan sepanjang tempoh pelaksanaannya tidak timbul sebarang kontroversi atau laporan salah laku.

“Sehinggalah minggu lepas apabila saya lantang menuntut Tan Sri Azam Baki digantung dan satu siasatan bebas dijalankan berikutan pendedahan Bloomberg mengenai dakwaan penyelewengan di SPRM,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, rundingan kerjasama dengan Arm dibuat secara berperingkat bermula antara Kementerian Ekonomi dan syarikat tersebut sebelum dibawa ke jawatankuasa rentas kementerian melibatkan Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan dan MITI.

Katanya, rundingan itu turut disertai Menteri MITI ketika itu, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan pegawai kanan kementerian.

Menurut beliau, perbincangan turut diadakan antara Perdana Menteri dan Ketua Pegawai Eksekutif Arm, Renee Hass serta pemegang saham terbesarnya, Masayoshi San dari SoftBank Group sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri sebanyak tiga kali dan diluluskan.

Rafizi menegaskan, Kementerian Ekonomi hanya berperanan merangka dasar dan tidak mempunyai kuasa mengendalikan perolehan atau kontrak.

Katanya, perjanjian kerjasama itu ditandatangani oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di bawah MITI dengan pembayaran diproses oleh MIDA serta diluluskan Kementerian Kewangan selepas draf perjanjian disemak dan diluluskan Jabatan Peguam Negara serta Kabinet.

Beliau turut menegaskan, sehingga kini tiada bukti berlaku kebocoran dana awam atau wang dimasukkan ke dalam akaunnya sambil menyifatkan dakwaan perjanjian dibuat secara tergesa-gesa sebagai tidak munasabah kerana ia dipengerusikan Perdana Menteri dan diluluskan Jemaah Menteri.

Berhubung NETR, Rafizi berkata, pelan itu merupakan dasar peralihan tenaga sehingga 2050 dan tidak melibatkan perolehan kerajaan atau dana awam bagi pembinaan projek.

Katanya, antara dasar utama ialah membenarkan syarikat swasta membangunkan projek tenaga boleh baharu untuk membekalkan tenaga hijau terus kepada industri tanpa melalui Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Beliau merujuk projek oleh UEM Lestra, anak syarikat UEM milik Khazanah Nasional yang mengumumkan pelaburan RM2.5 bilion bagi membangunkan projek tenaga boleh baharu berkapasiti 750MW di Segamat.

Menurut laporan media, projek itu diusahakan melalui usaha sama dengan I Squared Capital dari Amerika Syarikat dan jualan tenaga dimuktamadkan dengan ESR Group Limited yang berpangkalan di Hong Kong.

Rafizi menegaskan, keputusan komersial syarikat swasta berkenaan tidak ada kena mengena dengan Kementerian Ekonomi atau kerajaan serta tidak melibatkan perolehan awam.

Beliau turut mendakwa wujud serangan terancang termasuk oleh pempengaruh media sosial, Ariz Ramli atau Caprice yang menuduhnya menganugerahkan projek kepada syarikat yang dikaitkan dengannya.

Katanya, beliau akan membentangkan fakta lanjut dalam podcast YBM pada 20 Februari ini dan memberi peluang kepada Caprice menyiarkan fakta berkenaan serta memohon maaf jika tidak tindakan saman akan dimulakan.

Rafizi mendakwa, siasatan terhadapnya membuktikan risiko salah guna kuasa apabila individu yang sedang dipersoalkan integritinya terus memegang jawatan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, tindakan sewajarnya ialah menggantung tugas Azam serta-merta sementara satu siasatan bebas dijalankan bagi memastikan integriti institusi penguatkuasaan terus terpelihara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast