KUANTAN – Salah seorang ahli keluarga lima mangsa kes bunuh di sini tidak dapat menyembunyikan rasa sebak selepas keluar daripada bilik mayat selepas membuat pengecaman kesemua jenazah di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) hari ini.
Sebaik sahaja kesemua jenazah keluar dari bilik mayat pukul 2.54 petang tadi, Nurul Zahidah Ahmad Zambri meraung akibat beremosi, menangis teresak-esak dan longlai kerana kesedihan.
Beliau kemudian ditenangkan oleh sekumpulan ahli keluarga lain sambil menyuruhnya beristighar dan berzikir.
Sementara itu, kakak sulung suspek dalam kes pembunuhan lima sekeluarga di Taman Cherating Damai di sini semalam selesai dibedah siasat hari ini.
Kesemua jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Cherating dalam dua liang lahad berasingan.
Difahamkan proses mandi dan kafan jenazah dilakukan oleh Pertubuhan Amal Team Pahang serta jenazah akan disembahyangkan di Masjid Cherating petang ini.
Proses bedah siasat hari ini dibuat ke atas jenazah Nur Sumayyah Humairah,2, kakaknya, Nur Saffiyah Humairah, 5, dan neneknya, Tuan Kamaria Tuan Puteh, 56, di Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) pada semalam.
Manakala suspek berusia 32 tahun dan isteri, Nurul Asshiykin Kamaruzaman, 33 pula sudah selesai dilakukan proses bedah siasat pada petang semalam.
Kes lima sekeluarga maut yang menyayat hati ini masih dalam siasatan lanjut dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette















