MELAKA – Pakatan Harapan (PH) tidak akan sesekali menjadikan kerapuhan atau krisis dalaman parti lawan sebagai talian hayat untuk meraih kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Sebaliknya, Pengarah Strategi PKR Melaka, Mohd Radzmin Roslan berkata, PH memilih untuk memperkukuh benteng sendiri, memperkemas jentera, mempererat kesatuan dan memperhebat gerak kerja mendekati rakyat di setiap peringkat.
“Kemenangan yang kukuh tidak dibina atas kelemahan pihak lain, sebaliknya lahir daripada kekuatan organisasi dan kepercayaan rakyat.
“Perpecahan atau masalah pihak lain mungkin memberi sedikit impak, tetapi kita tidak boleh bergantung kepada perkara itu kerana asas kekuatan kita adalah kerja di lapangan dan kesatuan dalam parti.
“Kita perlu turun padang, dengar suara akar umbi dan fahami kehendak rakyat kerana disitulah kita bina keyakinan untuk memperoleh sokongan dan undi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Apresiasi Bersama Media Melaka dan Pertubuhan Generasi Berdaya (PGB) mewakili badan bukan kerajaan (NGO) di Klebang di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Mohd Radzmin yang juga Setiausaha Cabang Tangga Batu berkata, keutamaan ketika ini adalah memperkemas strategi serta kesiapsiagaan jentera pilihan raya.
“Kempen PH akan berteraskan isu yang benar-benar menyentuh kehidupan rakyat seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan dan kebajikan komuniti setempat.
“Kita mahu tawarkan penyelesaian yang praktikal dan boleh dirasai rakyat, bukan sekadar janji di atas pentas,” katanya
Tambahnya, pengundi muda termasuk kelompok Undi 18 dan pengundi atas pagar perlu didekati dengan pendekatan lebih segar berdasarkan prestasi serta keikhlasan PH dalam melaksanakan amanah rakyat. – MalaysiaGazette
















