Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru umat Islam agar menjadikan bulan Ramadan sebagai medan tarbiah untuk membentuk ketakwaan, disiplin diri dan integriti dalam melaksanakan amanah seharian.

Ia bukan sekadar memenuhi tuntutan rukun dan syarat ibadah semata-mata.

Menurut beliau, Ramadan yang mulia dan sentiasa dirindui umat Islam wajar disambut dengan penuh kesyukuran kepada Allah SWT atas peluang untuk sekali lagi bertemu bulan yang penuh keberkatan itu.

“Alhamdulillah, kita panjatkan kesyukuran sepenuhnya kepada Allah SWT atas peluang untuk bertemu kembali bulan Ramadan yang mulia dan dirindui umat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau menjelaskan, tuntutan ibadah puasa serta amalan lain sepanjang Ramadan tidak hanya terhad kepada memenuhi syarat dan rukun, sebaliknya lebih besar daripada itu iaitu mencapai matlamat hikmah dan objektif pensyariatan ibadah berkenaan.

Tambah beliau, puncak kenikmatan di sebalik amalan tersebut adalah pencapaian takwa yang perlu dilaksanakan melalui proses tarbiyah pembentukan watak, berakar daripada kesedaran hati nurani serta kewaspadaan batin yang lahir daripada rasa takut kepada Allah SWT.

Sehubungan itu beliau menegaskan, motivasi dalam melaksanakan ibadah sepanjang Ramadan harus dipacu dengan semangat mujahadah, bukan sahaja untuk menggapai cita-cita ukhrawi, malah pada masa sama mampu meningkatkan disiplin kendiri dan etika kerja.

“Ia turut menyumbang kepada peningkatan keinginan untuk bekerja dengan sepenuh hati dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab harian,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast