Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mendedahkan dua lagi kes berasingan membabitkan rakyat Malaysia yang dipercayai menjadi mangsa sindiket pekerjaan dan penipuan dalam talian di Kemboja dan Taiwan.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, kes pertama membabitkan seorang lelaki berusia 26 tahun dikenali sebagai Fong yang dipercayai berada di Kemboja selepas keluar negara pada Ogos 2024 tanpa pengetahuan keluarganya.

Menurut beliau, kakak mangsa hanya menyedari perkara itu selepas menerima panggilan dan mesej daripada adiknya pada 7 Februari lalu yang memaklumkan dia berada di Kemboja dan meminta bantuan untuk diselamatkan.

“Pada peringkat awal, keluarga diminta membayar AS$8,000 bagi membawa pulang mangsa sebelum diberikan pilihan membayar deposit AS$3,000. Jika gagal, mangsa diugut akan dicederakan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Hishamuddin berkata, keluarga yang terdesak telah membuat bayaran deposit berkenaan sebelum MHO menasihatkan supaya tidak meneruskan sebarang bayaran susulan kerana dikhuatiri menjadi mangsa penipuan berulang.

Menurut beliau, semakan dengan Jabatan Imigresen mendapati mangsa memang keluar ke Kemboja pada Ogos tahun lalu, walaupun sebelum ini memaklumkan kepada keluarga dia bekerja di Johor Bahru dan hanya berhubung melalui aplikasi WeChat.

Dalam perkembangan sama, Hishamuddin turut mendedahkan terdapat pihak tidak bertanggungjawab menyamar menggunakan logo dan nama MHO bagi memperdaya keluarga mangsa.

“Kami ingin tegaskan MHO tidak pernah menguruskan bantuan secara dalam talian atau meminta bayaran melalui panggilan telefon. Semua proses mesti melalui pengesahan mangsa dan keluarga di pejabat kami,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat terdapat keluarga yang telah membuat bayaran kepada individu menyamar sebelum menghubungi MHO mengundang kebimbangan.

Sementara itu, Hishamuddin berkata, satu lagi kes membabitkan seorang pemuda berusia 20 tahun, Woo Zhi Jiat, yang dipercayai ditahan di Taipei, Taiwan selepas berlepas ke negara itu pada 8 Januari lalu atas tawaran pekerjaan oleh rakannya.

Menurutnya, keluarga dimaklumkan sembilan hari kemudian mangsa ditahan pihak berkuasa tempatan, namun sehingga kini masih belum menerima penjelasan terperinci mengenai status kes berkenaan.

“Setakat ini, keluarga masih belum mendapat kepastian sama ada mangsa telah didakwa atau dijatuhkan hukuman,” ujarnya.

Beliau turut menggesa mana-mana pihak di Taiwan yang mempunyai akses kepada peguam swasta supaya tampil membantu keluarga terbabit, selain meminta perwakilan Malaysia di negara itu memberikan sokongan sewajarnya.

Hishamuddin berkata, kes-kes berkenaan menunjukkan trend berterusan rakyat Malaysia diperdaya sindiket pekerjaan dan penipuan di luar negara.

“Ia memerlukan tindakan lebih proaktif termasuk pemantauan, makluman awal kepada keluarga serta akses kepada bantuan guaman yang telus,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast