Waris Allahyarham Tun Abdul Hamid Mohamad memberi penghormatan terakhir di Musolla Taman Selatan Presint 20, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 19 FEBRUARI 2026.

PUTRAJAYA – Jenazah bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad, selamat dikebumikan tepat jam 5.50 petang tadi di Tanah Perkuburan Islam Presint 20, petang tadi.

Terdahulu, jenazah Allahyarham disembahyangkan di Musolla Taman Selatan, Presint 20, sejurus selepas solat Asar.

Solat jenazah itu diimamkan Imam Masjid Mahmoodiah Presint 18, Ustaz Rafuwan Putra Affendi, selepas sesi penghormatan terakhir berlangsung dalam suasana penuh pilu dan tertib.

Kira-kira 200 ahli keluarga, sahabat handai serta kenalan rapat hadir mengiringi perjalanan terakhir tokoh kehakiman itu.

Seusai pengebumian, Rafuwan Putra membacakan talkin, mengiringi detik-detik akhir persemadian Allahyarham dengan doa dan linangan air mata.

Jenazah Allahyarham Tun Abdul Hamid Mohamad dibawa ke Tanah Perkuburan Presint 20, Putrajaya untuk urusan pengebumian. Foto MUHAIMIN MARWAN, 19 FEBRUARI 2026.

Antara yang hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh; Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin serta bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapha Mohamed.

Allahyarham Abdul Hamid menghembuskan nafas terakhir pada usia 83 tahun di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia tengah hari tadi.

Perkara itu disahkan anak perempuannya, Murni Abdul Hamid, yang memaklumkan bapanya dimasukkan ke hospital berkenaan sejak 9 Februari lalu sebelum meninggal dunia akibat sakit tua, di sisi isteri tercinta, Toh Puan Hamidah Choong Abdullah dan anak-anak.

Jenazah Allahyarham Tun Abdul Hamid Mohamad dibawa ke Tanah Perkuburan Presint 20, Putrajaya untuk urusan pengebumian. Foto MUHAIMIN MARWAN, 19 FEBRUARI 2026.

Sepanjang lebih tiga dekad dalam bidang kehakiman, Allahyarham meniti satu demi satu tangga perkhidmatan sebelum dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 1 Mei 1990, Hakim Mahkamah Tinggi pada 1992, Hakim Mahkamah Rayuan pada 1 September 2000 dan Hakim Mahkamah Persekutuan pada 1 Ogos 2003.

Kemuncak kerjayanya menyaksikan beliau dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada Disember 2007 hingga Oktober 2008, meninggalkan legasi ketegasan dan prinsip yang terus dikenang dalam institusi kehakiman negara. — MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast