GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa umat Islam agar menjalani ibadah puasa pada Ramadan dengan penuh kesederhanaan selaras dengan tuntutan bulan suci itu yang mendidik umatnya supaya bersikap sederhana dan berdisiplin.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, pendedahan sebuah akhbar tempatan mengenai promosi bufet berbuka puasa oleh hotel sehingga ada yang melangkau harga RM300 seorang menimbulkan persoalan mengenai tujuan sebenar berpuasa sama ada untuk berpesta makan atau beribadah.

Menurutnya, walaupun harganya melambung, beberapa hotel memaklumkan tempahan harian untuk berbuka puasa di coffee house dan restoran yang boleh memuatkan sehingga 200 pelanggan hampir penuh.
“Adakah ini satu keperluan atau kehendak? Bufet Ramadan sering dikaitkan dengan pembaziran wang dan makanan malah bertentangan sekali dengan Ramadan yang sering dikaitkan dengan nilai kesyukuran, disiplin diri dan sikap keprihatinan terhadap orang lain.
“Di saat sebahagian besar umat Islam masih tidak mampu bermewah dengan makanan atau lebih malang lagi tiada makanan untuk dimakan kerana kesempitan hidup, ada pihak yang sanggup membelanjakan wang dengan begitu boros. Islam mengajar umatnya untuk mengelakkan daripada bersikap rakus, membazir dan boros.
“Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada tuhannya.” (Surah al-Isra’, ayat 27),” katanya dalam kenyataan di sini.
Tambah beliau, Ramadan sepatutnya menjadi bulan yang mendidik umat Islam untuk bersikap sederhana, berjimat cermat dan tidak melampaui batas, namun apa yang berlaku ialah ramai berbelanja besar untuk juadah berbuka puasa dan menyambut raya sehingga menuntut perbelanjaan berganda berbanding bulan lain.
Katanya, Sayyid Qutb dalam tafsirnya ‘Fi Zilal al-Quran’ menjelaskan Ibnu Mas’ud dan Ibnu Abbas mentafsirkan pembaziran sebagai berbelanja kepada tempat yang tidak wajar atau tidak diharuskan Allah, dan berbelanja secara berlebihan merupakan sikap yang tidak baik.
“Tujuan utama kita berpuasa adalah untuk merasakan kelaparan yang dialami golongan miskin dan terpinggir agar kita mempunyai sikap empati kepada mereka. Ramai saudara seagama kita di negara bergolak berdepan dengan kebuluran.
“Mereka yang berada seharusnya berkongsi rezeki dengan golongan tidak bernasib baik, miskin dan memerlukan serta tidak mengamalkan gaya hidup bermewah-mewah apatah lagi membazir. Kekayaan yang ada sepatutnya digunakan bagi membantu golongan miskin dan terpinggir agar mereka dapat keluar daripada belenggu kemiskinan dan penindasan serta menyokong program amal jariah.
“Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang-orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros dan melampau batas.” (Surah al-Isra’, ayat 26),” katanya.
Menurut Mohideen, setiap tahun umat Islam menjalani ibadah puasa namun Ramadan yang dilalui sebelum ini seolah-olah tidak memberikan pengajaran dan kesan terhadap kehidupan seharian.
“Marilah kita menjadikan Ramadan sebagai bulan untuk meningkatkan keimanan dengan menunaikan ibadah wajib dan sunat serta merebut keberkatan bagi menggandakan amal kebaikan,” katanya. – MalaysiaGazette
















