KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan seramai 12 pegawai dan anggota pasukan keselamatan sedang disiasat berhubung dakwaan penglibatan dalam kes rompakan berkumpulan membabitkan kerugian kira-kira RM200,000 dalam bentuk mata wang kripto.
Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.
“Ya, saya mengesahkan kejadian dan penahanan itu. Tindakan segera telah diambil dan seramai 12 anggota telah ditahan.
“Polis Kontinjen Selangor tidak kompromi mana-mana pegawai atau anggota yang terlibat dalam aktiviti jenayah,” katanya dalam kenyataan petang ini.
Beliau turut memohon kerjasama umum supaya pihaknya dapat menyiasat dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden ini.
Sebelum ini media melaporkan suspek yang ditahan terdiri daripada pelbagai pangkat termasuk seorang Asisten Superintendan, seorang Inspektor, seorang Sarjan, enam koperal, dua lans koperal dan seorang konstabel, berusia antara 24 hingga 47 tahun.
Sumber memaklumkan kesemua mereka diberkas dalam beberapa operasi berasingan yang dijalankan dalam tempoh dua hari oleh pasukan khas dari ibu pejabat polis daerah.
Penahanan itu dibuat susulan laporan seorang lelaki warga China berusia 31 tahun yang mendakwa dirinya bersama tujuh rakan dipaksa memindahkan mata wang kripto bagi mendapatkan pembebasan.
Mangsa mendakwa kejadian berlaku selepas banglo yang mereka sewa di kawasan perumahan berpagar di Country Heights, Kajang diserbu pada awal Februari lalu.
Siasatan awal mendapati serbuan itu dibuat atas syak wasangka kumpulan berkenaan terlibat dalam kegiatan penipuan dalam talian.
Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut terhadap penghuni dan peranti elektronik tidak menemukan sebarang bukti berkaitan aktiviti jenayah tersebut.
Mangsa kemudian mendakwa mereka diugut akan dikenakan tindakan lanjut sekiranya gagal membuat bayaran sebelum transaksi mata wang kripto dilakukan.
Difahamkan, bayaran dibuat sebelum kumpulan itu dibenarkan meninggalkan premis.
Setakat ini, polis masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti peranan setiap individu yang terlibat dalam kejadian berkenaan.
Pihak berkuasa juga belum mendedahkan sama ada pertuduhan akan dibuat dalam masa terdekat. -MalaysiaGazette
















