NEW YORK – Harga minyak melonjak ke paras tertinggi dalam beberapa bulan manakala pasaran saham global kebanyakannya merosot apabila pasaran menilai retorik yang semakin tegang daripada Presiden Donald Trump mengenai Iran, yang mencadangkan kemungkinan serangan ketenteraan semakin meningkat.
Kontrak niaga hadapan minyak Brent ditutup naik hampir dua peratus kepada AS$71.66 setong selepas sebelum itu mencecah paras tertinggi sejak Julai.
Manakala West Texas Intermediate naik 1.9% kepada AS$66.43 setong.
“Minyak meneruskan kenaikan, dengan minyak mentah Brent kembali melepasi AS$70 setong… apabila kebimbangan terhadap konfrontasi ketenteraan antara AS dan Iran menggoncang pasaran tenaga.
“Rundingan nuklear antara kedua-dua pihak kelihatan buntu, dan premium geopolitik jelas kembali berperanan,” kata Matt Britzman, Penganalisis Ekuiti Kanan di Hargreaves Lansdown, lapor AFP.
Kebimbangan terhadap Iran turut menekan Wall Street, dengan indeks utama bergelut dalam zon merah sepanjang hari.
“Nampaknya pasaran semakin gelisah mengenai kemungkinan serangan ke atas Iran,” kata Art Hogan dari B. Riley Wealth Management.
Saham Walmart turun naik antara untung dan rugi selepas gergasi runcit itu melaporkan pendapatan kukuh tetapi mengemukakan unjuran keuntungan di bawah jangkaan penganalisis. Walmart, yang melepasi penilaian pasaran AS$1 trilion pada awal bulan ini, menutup dagangan sedikit di bawah paras tersebut selepas susut 1.4 peratus.
Indeks utama Eropah ditutup lebih rendah, dengan saham pengeluar pesawat Airbus menjunam 7.2 peratus di Paris selepas keputusan tahunannya tidak memenuhi jangkaan penganalisis.
Saham pengeluar kereta Perancis Renault merosot 3.1 peratus di Paris selepas mencatat peningkatan jualan 2025 tetapi memberi amaran mengenai margin keuntungan yang menyusut akibat peningkatan jualan kenderaan elektrik dan hibrid.
Di London, pendapatan mengecewakan daripada gergasi perlombongan Rio Tinto dan kumpulan tenaga Centrica menekan indeks utama FTSE 100.
Di Asia, indeks Kospi Seoul mendahului kenaikan dengan melonjak lebih tiga peratus ke paras tertinggi rekod apabila pasaran dibuka semula selepas cuti Tahun Baharu Lunar, dipacu prestasi cemerlang gergasi cip Samsung dan SK hynix.
Tokyo turut mencatat kenaikan manakala Hong Kong, Shanghai dan Taipei kekal ditutup sempena cuti Tahun Baharu Lunar.
Saham Asia menikmati permulaan tahun yang kukuh apabila pelabur beralih kepada saham teknologi serantau yang relatif lebih murah selepas lonjakan Wall Street yang dipacu kecerdasan buatan (AI) sejak dua tahun lalu. – Agensi
















