Seorang individu berusia 46 tahun, diiringi anggota Polis di bawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan membunuh seorang wanita gelandangan, ketika di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 20 FEBRUARI 2026

KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret hari ini mengarahkan lelaki yang ditahan berhubung kes kematian seorang wanita gelandangan di Jalan Sentul, di sini, pada 9 Februari lalu dirujuk ke hospital bagi menjalani pemeriksaan psikiatri.

Tertuduh, Syed Faizal Syed Alwi, 46, menganggukkan kepala selepas mendengar pertuduhan yang dibacakan Timbalan Pendakwa Raya, R. Amritpreet Kaur di hadapan Majistret, Farah Nabihah Muhamad Dan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah membunuh seorang perempuan yang tidak dikenal pasti identitinya pada tarikh berkenaan antara jam lebih kurang pukul 6.35 pagi hingga 6.36 pagi di hadapan sebuah premis di Jalan Sentul.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang daripada 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun.

Tertuduh juga boleh dikenakan tidak kurang daripada 12 kali sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut dimaklumkan laporan bedah siasat mangsa masih belum diperoleh dan perlu mendapatkan laporan forensik terlebih dahulu.

Mahkamah menetapkan 19 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki direman bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang wanita gelandangan berusia lingkungan 50 hingga 60-an di Jalan Sentul, di sini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari memaklumkan, identiti mangsa masih belum dikenal pasti dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada 13 Februari lalu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dipetik berkata, suspek yang ditahan bagi kes itu disyaki mengalami masalah mental.

Beliau memberitahu, hasil siasatan awal mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan di bahagian kepala akibat hentakkan objek tumpul.

Sembilan saksi juga sudah dipanggil untuk membantu siasatan yang kini masih berjalan.

Fadil berkata, siasatan terperinci sedang dijalankan bagi mengenal pasti keadaan sebenar suspek termasuk latar belakang peribadi serta hubungannya dengan mangsa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast