Datuk Dr Sahruddin Jamal

KUALA LUMPUR – Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Johor Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr. Sahruddin Jamal menyeru seluruh ahli parti agar tidak menggadaikan disiplin dan kesatuan demi kepentingan peribadi ketika parti berdepan cabaran dalaman dan luaran.

Beliau menegaskan, perjuangan parti jauh lebih besar daripada mana-mana individu, malah amanah yang diberikan rakyat perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab demi memastikan masa depan negeri dan negara terus berada di landasan yang betul.

“Jika kita benar-benar berpegang kepada nilai perjuangan, maka disiplin, ketaatan kepada kepimpinan, dan kesatuan tindakan mesti menjadi budaya bersama.

“Dengan semangat inilah kita akan terus memperkukuh Bersatu dan melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan. Mendung pasti akan berlalu dan mentari akan menyinar kembali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sahruddin membuat kenyataan ini ketika 11 Ketua Bahagian Bersatu Johor dilaporkan meletakkan jawatan susulan krisis kepimpinan yang didakwa berlarutan, melibatkan bahagian Pontian, Simpang Renggam, Sembrong, Mersing, Johor Bahru, Pengerang, Labis, Tanjung Piai, Seri Gading, Ledang dan Pulai.

Semalam, kemelut parti terus memuncak apabila Ketua Bersatu Bahagian Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, mengumumkan peletakan jawatan berkuat kuasa serta-merta atas alasan hilang kepercayaan terhadap Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Mas Ermieyati, keputusan itu dibuat dalam satu mesyuarat khas kira-kira dua jam yang dihadiri ahli jawatankuasa bahagian, ketua sayap dan ketua cawangan, sekali gus mencerminkan keresahan yang sedang melanda akar umbi.

Dalam pada itu, Sahruddin menegaskan, kekuatan organisasi tidak pernah bergantung kepada angka semata-mata, sebaliknya kepada kesatuan hati dan kepatuhan terhadap struktur yang sah.

“Kekuatan sesebuah organisasi, termasuk organisasi politik, tidak hanya terletak pada angka dan kedudukan, tetapi pada kesatuan hati dan disiplin anggotanya.

“Bersatu dibina atas prinsip perjuangan yang jelas. Justeru, setiap ahli mesti menghormati struktur dan keputusan yang telah dibuat berlandaskan kepada peraturan dan perlembagaan parti,” katanya.

Beliau turut mengingatkan, ketaatan kepada kepimpinan bukan bermaksud mengagungkan individu, sebaliknya bagi memastikan parti tidak hilang arah akibat tindakan atau kenyataan yang bergerak di luar kerangka organisasi.

“Saya percaya setiap ahli mempunyai buah fikiran yang matang dan berhak bersuara. Namun, kebebasan bersuara itu tidak seharusnya membawa kepada perpecahan atau melemahkan imej parti. Kebebasan bersuara datang bersama tanggungjawab untuk memastikan parti kekal bersatu dan dihormati,” katanya lagi.

Pada 13 Februari lalu,  Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin dipecat daripada parti itu berkuat kuasa hari ini.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam satu kenyataan berkata, tindakan terhadap Hamzah diambil selepas beliau didapati melanggar perlembagaan parti.

Selain Hamzah, 16 lagi pemimpin parti itu menerima nasib sama.  MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast