KUALA LUMPUR – Bekalan Air Berjadual (BAB) yang mula dilaksanakan di Kluang dan Pontian sejak 7 Februari lalu termasuk penjadualan 48 jam tanpa bekalan air mengikut zon, kini ditamatkan sepenuhnya.
Keputusan dibuat susulan perkembangan positif paras air Empangan Machap serta loji rawatan air yang kini beroperasi secara optimum selepas tempoh pemantauan rapi, kata satu kenyataan Ranhill SAJ.

Dengan penamatan itu, bekalan air terawat disalurkan seperti biasa kepada semua kawasan terlibat.
Para pengguna dinasihat agar terus mengamalkan penggunaan air secara berhemah.
“Ranhill SAJ akan terus memantau keadaan semasa bagi memastikan kestabilan bekalan dapat dikekalkan,” kata kenyataan yang sama.- MalaysiaGazette
















