Chow Kon Yeow.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menegaskan semakan kadar cukai tanah 2026 serta pewartaan 25 bandar baharu dilaksanakan bagi menangani jurang ketara antara Tanah Desa dan Tanah Bandar yang tidak disemak hampir 30 tahun.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Pulau Pinang merupakan antara negeri terakhir di Semenanjung Malaysia yang belum melaksanakan semakan cukai tanah setiap 10 tahun sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 101 Kanun Tanah Negara (Akta 828), dengan semakan terakhir dibuat pada 1994 dan dilaksanakan pada 1996.

Beliau berkata, pewartaan 16 bandar melibatkan kawasan seperti George Town, Jelutong, Ayer Itam, Gelugor, Bukit Bendera, Tanjong Bungah, Tanjong Tokong, Batu Feringgi, Balik Pulau, Bayan Lepas, Kepala Batas, Butterworth, Prai, Bukit Mertajam, Sungai Bakap dan Nibong Tebal pula kali terakhir dilaksanakan pada 1966.

Menurutnya, ketiadaan semakan dan pewartaan baharu dalam tempoh panjang menyebabkan jurang kadar cukai tanah antara kawasan desa dan bandar menjadi semakin besar dan tidak saksama, sedangkan pembangunan pesat telah menjadikan banyak kawasan desa setara dengan bandar dari segi ekonomi dan sosial.

“Kerajaan Negeri berpandangan adalah wajar untuk semakan semula kadar cukai tanah dilaksanakan bagi mengurangkan jurang perbezaan kadar cukai tanah yang perlu dibayar oleh pemilik tanah di kawasan seperti Seberang Jaya, Bertam, Bandar Cassia dan Bandar Tasik Mutiara yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai Tanah Desa, berbanding kawasan yang telah lama berstatus Tanah Bandar sejak 1966.

“Kami sedar semakan serta pelaksanaan naik taraf tanah Desa kepada Bandar akan menyebabkan kenaikan kadar cukai dalam peratusan tinggi berbanding sebelum ini.

“Justeru, kerajaan negeri memperkenalkan rebat 50 peratus sebagai mekanisme mengawal kesan kenaikan dan mengurangkan beban pemilik tanah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, asas rayuan turut ditambah baik dan telah diumumkan pada 15 Februari lalu, dengan lebih 350 permohonan rayuan kini sedang diteliti oleh Pentadbir Tanah di setiap daerah.

Mengulas dakwaan struktur cukai tanah negeri tidak selaras dengan Seksyen 52 Kanun Tanah Negara (Akta 828), Kon Yeow berkata, Seksyen 101(3)(b) akta sama memperuntukkan bahawa Pihak Berkuasa Negeri boleh membuat peruntukan berbeza untuk kelas atau perihal tanah yang berlainan.

Katanya, penetapan kadar berdasarkan kelas dan perihal tanah adalah selaras dengan peruntukan Seksyen 120, 121, 122 dan 124 Kanun Tanah Negara yang memberi kuasa kepada Pihak Berkuasa Negeri menentukan syarat nyata serta pindaan kategori atau syarat tanah.

Beliau turut menjelaskan isu hak milik First Grade, Condition A, B dan C yang tidak menyatakan kategori tanah dan syarat nyata secara jelas kerana berasal daripada sistem English Deed sebelum merdeka, menyebabkan kadar cukai ditentukan berdasarkan kegunaan semasa di tapak.

“Sebagai contoh, satu hak milik First Grade di Seberang Perai Selatan seluas 16,035.64 meter persegi yang sebelum ini dikenakan cukai RM48 setahun pada kadar pertanian (kelapa), kini dikenakan RM44,900 berdasarkan kegunaan semasa perniagaan pada kadar RM3.25 semeter persegi.

“Di Seberang Perai Tengah, tanah seluas 6,128.4585 meter persegi yang sebelum ini membayar RM24 setahun pada kadar pertanian (buah-buahan), dikenakan RM19,918 selepas didapati kegunaan semasa bertukar kepada perniagaan, manakala di Daerah Timur Laut, tanah seluas 3,814.1561 meter persegi meningkat daripada RM8 setahun kepada RM12,397 atas kegunaan sama.

“Contoh berkenaan menunjukkan dalam tempoh hampir 30 tahun lalu, pemilik tanah terbabit menikmati bayaran cukai amat rendah berbanding pembayar lain yang membayar kadar sebenar mengikut kegunaan semasa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast