KUALA LUMPUR — Pendakwah bebas, Ahmad Husam Baderudin mencipta kelainan apabila tampil sebagai pelakon utama dalam filem bertajuk Sebelah Hati yang kini ditayangkan menerusi platform YouTube Al Irsyad Studio.

Menerusi naskhah berteraskan kisah kekeluargaan itu, Ahmad Husam atau lebih dikenali sebagai Ustaz Husam membawakan watak seorang anak lelaki yang terputus kasih dengan ibunya selepas kematian bapa, sebuah karya yang sarat emosi dan menyentuh nurani.

Gandingan beliau bersama pelakon berpengalaman seperti Wan Maimunah dan Noorkhiriah Shapie berjaya menghidupkan perjalanan cerita dengan lakonan yang penuh penghayatan, sekali gus meruntun jiwa penonton.

Antara babak dalam filem Sebelah Hati.

 

Turut membintangi karya arahan Hisham Ismail itu ialah Zainol Ismail yang menambah kekuatan pada keseluruhan penceritaan.

Menurut Ahmad Husam, naskhah berkenaan bukan sekadar hiburan semata-mata, sebaliknya mengangkat mesej mendalam tentang hubungan kekeluargaan dan nilai kasih sayang.

“Saya berharap naskah ini dapat diterima oleh penonton dan menghayati sebaik mungkin mesej yang disampaikan.

“Ia bukan sekadar filem, namun ada mesej yang perlu diambil oleh penonton,” katanya.

Wan Maimunah turut beraksi dalam filem Sebelah Hati.

Filem ini mula ditayangkan pada hari pertama Ramadan, bertepatan dengan tema penginsafan dan refleksi diri yang dibawa dalam jalan ceritanya.

“Sebelah Hati” mengisahkan bagaimana seorang anak lelaki terus dihimpit rasa bersalah apabila dituduh menjadi punca kematian bapanya, sehingga menyebabkan kasih seorang ibu terhadapnya seakan terhakis.

Namun di sebalik konflik yang berlarutan dan emosi yang membara, tersimpan sebuah rahsia yang akhirnya merungkai segala persoalan.

Penonton boleh menyaksikan sendiri kesudahan kisah penuh pengajaran ini menerusi platform YouTube Al Irsyad Studio. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast