KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan seorang bekas pengarah sebuah syarikat telekomunikasi kerana disyaki memberi rasuah kira-kira RM8 juta kepada Presiden/Pengarah Urusan Kumpulan sebuah bank sebagai balasan membantu meluluskan permohonan pinjaman.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 50-an telah ditahan kira-kira 12.30 tengah hari tadi ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2012.
“Suspek juga dipercayai telah mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu melibatkan dokumen Joint Completion Guarantee sebagai memenuhi syarat kelulusan permohonan pinjaman berjumlah kira-kira RM400 juta untuk membiayai sebuah projek fiber optik,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK), Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan.
Tambahnya, suspek akan dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur esok. – MalaysiaGazette
















