Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr. Ramli Mohd Nor.

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat masih tidak menerima sebarang notis mahupun pemakluman mengenai kekosongan kerusi Ketua Pembangkang selepas penyandangnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin dipecat daripada Bersatu.

Timbalan speakernya, Datuk Dr. Ramli Mohd Nor berkata, pihaknya belum menerima pemakluman secara hitam putih daripada blok pembangkang setakat ini.

“Setakat ini, saya dan saya percaya timbalan speaker yang seorang lagi pun belum menerima apa-apa arahan.

“Saya percaya belum ada hitam putih yang diusulkan daripada pihak sebelah kiri atau pembangkang untuk menyatakan kekosongan tersebut (ketua pembangkang).

“Ini perlu secara hitam putih untuk layak dalam perspektif perundangan dalam Dewan Rakyat,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer membangkitkan isu Peraturan 4a(1)(3) dan Peraturan 4a(4) yang menyentuh soal kedudukan dan kerusi Ketua Pembangkang.

“Jika berbangkit apa-apa keraguan atau pertikaian tentang siapakah yang sedang atau telah menjadi Ketua Pembangkang pada bila-bila masa yang perkhidmatan, masalah itu hendaklah diputuskan oleh Tuan Yang Dipertua dan keputusannya diperakui secara bertulis di bawah tandatangannya telah muktamad dan konklusif.

“Saya bangun di bawah Peraturan 4a(4) kerana kita dengar minggu lalu bahawa Yang Berhormat Larut dan beberapa ahli Parlimen telah pun dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Yang Berhormat Larut juga telah membuat satu deklarasi bahawa beliau adalah musuh nombor satu kepada Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin).

“Adakah pejabat Speaker atau Timbalan Speaker telah menerima apa-apa makluman dan mampukan pihak pembangkang melaksanakan tanggungjawab sebagai pembangkang yang berhemah kalau bergaduh sesama sendiri,” katanya.

Kemudian Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Solahuddin Hashim pula bangkit mempersoalkan tindakan ahli Parlimen DAP yang cuba mencampuri urusan parti lain termasuk isu pemecatan wakil rakyatnya.

“Bila ada orang pelik, jadi peraturan pelik akan bangkitlah. Peraturan 2(3), kerusi-kerusi untuk dimuat peruntukan mengikut pertimbangan Tuan Yang Dipertua dan keputusan perkara ini adalah muktamad.

“Ini keputusan Yang Dipertua, Speaker termasuklah Timbalan Speaker, orang lain tak perlu campur tangan.

“Masalah pergaduhan yang dibangkitkan ini perkara biasa dalam pengurusan, tetapi kebijaksanaan pemimpin menguruskan krisis ini, itu yang penting,” katanya.

Awang yang juga ahli Parlimen Pas melahirkan rasa kesal apabila wakil rakyat DAP cuba mencampuri urusan Yang Dipertua Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat dalam menentukan kedudukan Hamzah sebagai ketua pembangkang.

“Ada pula pihak lain campur tangan hak organisasi yang lain, ini tak betul, selagi Yang Dipertua tidak menerima apa-apa surat daripada pembangkang atau kerajaan, orang lain tak boleh masuk campur, itu adalah hak Yang Dipertua.

“Kenapa orang lain sibuk? Dia ini sakitkah? Dia orang pun ada masalah juga, selesailah masalah Team A, Team B, ada, tapi kita tak campur, tapi dia selalu campur, ini yang saya nak bangkitkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast