KUALA LUMPUR – Pasukan pembelaan yang mewakili ahli perniagaan, Datuk Mahadi Badrul Zaman membangkitkan isu janggut sebagai salah satu alasan supaya anak guamnya dibebaskan dengan jaminan rendah sementara menunggu perbicaraan.
Peguam, Datuk Mohd. Zamri Mohd. Idrus berhujah di Mahkamah Sesyen, jika Mahadi gagal menjelaskan jaminan, ahli perniagaan itu akan ditahan di penjara menyebabkan rambut dan janggutnya dipotong.
“Anak guam kami hanya mempunyai wang RM50,000. Jika gagal membayar jaminan, dia akan ditahan di penjara. Peraturan penjara menghendaki rambut dipotong dan janggutnya dicukur dan ini akan memberi kesan kepadanya,” ujarnya.
Mohd. Zamri menyatakan demikian ketika mengemukakan hujahan bagi mengurangkan wang jaminan sementara menunggu perbicaraan.
Terdahulu, Mahadi yang juga suami kepada seorang selebriti, Heliza Helmi didakwa atas dua pertuduhan di mahkamah berlainan berkaitan urusniaga sekuriti tanpa lesen di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.
Selaku wakil AUF MBZ PLT, Mahadi didakwa menjalankan urusan dalam aktiviti terkawal iaitu berniaga dalam sekuriti walhal syarikat itu tidak mempunyai lesen melakukannya.
Berhujah lanjut di hadapan Hakim Norma Ismail, Mohd. Zamri berkata, anak guamnya kini tidak mempunyai pendapatan tetap dan perlu menanggung ibunya yang menghidap kanser selain memohon cagaran dalam bentuk tanah bagi membayar jaminan.
Katanya, Mahadi yang membantu dalam mengendalikan jemaah umrah telah memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa sekali gus tidak menunjukkan dia berisiko untuk melarikan diri.
Selain itu, pasukan pembelaan turut memohon jaminan RM50,000 yang telah ditetapkan oleh mahkamah berlainan bagi pertuduhan berbeza dikekalkan manakala syarat jaminan tambahan yang dikemukakan oleh pasukan pendakwaan, tidak dibantah.
Terdahulu, Pegawai pendakwa Suruhanjaya Sekuriti (SC), Danial Imran Nasaruddin mencadangkan wang jaminan RM200,000 serta syarat jaminan tambahan pasport diserah dan diarah melapor diri ke pejabat agensi itu setiap awal bulan.
Beliau memohon mahkamah mempertimbangkan kepentingan awam serta keyakinan pelabur dalam pasaran sekuriti sebelum membenarkan jaminan terhadap tertuduh.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, kedua-dua mahkamah membenarkan Mahadi diikat jamin masing-masing sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan yang dicadangkan pendakwaan. – MalaysiaGazette
















