Tangkap layar hantaran jemputan berbuka puasa percuma yang dikesan.

KUALA LUMPUR  – Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) mengesahkan tiada rekod laporan polis atau kes yang secara spesifik berkaitan pautan penipuan jemputan berbuka puasa seperti didakwa di media sosial setakat ini.

Bagaimanapun, Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa, tidak menolak kemungkinan wujud percubaan penipuan menggunakan taktik pautan palsu bagi memperdaya mangsa untuk memperoleh maklumat peribadi dan perbankan.

“JSJK tidak menolak kemungkinan wujud percubaan penipuan menggunakan taktik pautan palsu yang menyamar jemputan majlis, tawaran berbuka puasa percuma atau sumbangan Ramadan bagi memperdaya mangsa untuk mendapatkan maklumat peribadi dan perbankan.

“Susulan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menekan pautan yang diterima daripada sumber tidak dikenali atau meragukan, dan idak berkongsi maklumat peribadi, nombor TAC, kata laluan perbankan atau butiran kad kepada mana-mana pihak.

“Selain itu, orang ramai diminta membuat semakan dengan pihak penganjur yang sah sebelum mempercayai sebarang tawaran dan menghubungi National Scam Response Center (NSRC) di talian 997 atau membuat laporan polis dengan segera sekiranya mengesyaki telah menjadi mangsa penipuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, JSJK sentiasa memantau trend penipuan yang mengambil kesempatan atas musim perayaan atau bulan Ramadan dan akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat unsur jenayah.

Dalam pada itu, Mohd Rosdi turut menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran yang terlalu baik untuk dipercayai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast