KUALA LUMPUR – Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah melantik Ahmad Radhi Maarof sebagai Ketua Pengarah APAD yang baharu berkuat kuasa hari ini.
Ahmad Radhi, 53, mempunyai pengalaman lebih 25 tahun dalam bidang perancangan bandar dan pengangkutan, serta transformasi sistem pengangkutan awam darat.
Beliau telah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) APAD selama tujuh tahun.
Kerjaya beliau bermula sebagai Perunding Perancang Bandar melibatkan penyediaan kajian Rancangan Struktur Negeri dan Rancangan Tempatan Daerah (1999–2012) sebelum menyertai Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada tahun 2012.
Sepanjang tempoh di SPAD dan seterusnya di APAD, beliau telah terlibat secara langsung dalam penyediaan Rancangan Induk Pengangkutan Awam Darat, pelaksanaan program SBST bas henti-henti di sembilan lokasi ibu negeri, serta pemantauan projek keretapi dan teknologi bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam darat.
Selepas penubuhan APAD pada tahun 2019, beliau dilantik sebagai Pengarah Bahagian Perancangan Polisi Mod Jalan sebelum ditukar lantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) mulai 10 Februari 2024.
Sepanjang tempoh tersebut, beliau turut melaksanakan fungsi operasi semasa kekosongan jawatan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), sekali gus memperkukuh pemahaman menyeluruh beliau terhadap aspek perancangan strategik dan juga pelaksanaan operasi pengangkutan awam darat.
Ahmad Radhi juga merupakan calon yang dikenal pasti dalam Pelan Penggantian APAD selaras dengan dasar pembangunan bakat perkhidmatan awam, kata agensi itu.
Sepanjang perkhidmatan, Ahmad Radhi merupakan penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (2019) serta aktif mewakili Malaysia di pelbagai forum antarabangsa berkaitan mobiliti bandar dan pengangkutan awam di peringkat Asia dan global.
“Pelantikan beliau sebagai Ketua Pengarah diyakini dapat memastikan kesinambungan dasar, kestabilan organisasi serta kelangsungan agenda transformasi pengangkutan awam darat negara,” kata APAD dalam kenyataan hari ini. – MalaysiaGazette
















