KUALA LUMPUR – Peguam, Sivahnathan Ragava sekali lagi menggesa kerajaan memperkenalkan mekanisme pendengaran segera di mahkamah bagi membolehkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dipelihara dalam tempoh 24 hingga 48 jam sebelum bukti penting itu terpadam secara automatik.
Beliau berkata, kebanyakan sistem CCTV di premis swasta hanya menyimpan rakaman untuk tempoh singkat sebelum ditulis ganti, menyebabkan banyak bahan bukti hilang ketika kes masih di peringkat awal siasatan.
“Dalam banyak kes serius, rakaman CCTV boleh menjadi penentu utama sama ada seseorang itu bersalah atau tidak.
“Namun apabila proses terlalu lambat, bukti tersebut sudah tiada apabila diperlukan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Menurutnya, kelewatan sering berlaku apabila kes bergerak daripada Mahkamah Majistret ke Mahkamah Tinggi, yang lazimnya boleh mengambil masa lebih setahun.
“Apabila sampai ke peringkat itu, rakaman yang penting kepada pembelaan sudah lama dipadam walaupun ia mungkin kritikal kepada kes,” ujarnya.
Sivahnathan menjelaskan, ketika ini peguam tidak mempunyai kuasa untuk memaksa pemilik premis swasta menyerahkan rakaman CCTV kerana autoriti tersebut hanya terletak kepada polis atau mahkamah.
Katanya, prosedur sedia ada memerlukan peguam menghantar surat rasmi terlebih dahulu dan sekiranya gagal mendapat kerjasama, permohonan rasmi perlu difailkan di mahkamah.
“Proses itu mengambil masa panjang kerana pihak pendakwaan perlu memfailkan afidavit jawapan sebelum mahkamah membuat keputusan.
“Dalam banyak keadaan, ia boleh mengambil masa dua hingga tiga bulan sedangkan ada sistem CCTV yang hanya menyimpan rakaman kurang daripada sebulan,” jelasnya.
Beliau menegaskan keadaan itu meletakkan tertuduh dalam situasi tidak adil walaupun terdapat bukti yang berpotensi membuktikan mereka tidak bersalah.
“Ada kes di mana rakaman jelas boleh membantu menentukan keputusan kes. Ini juga membantu individu yang tidak bersalah terpaksa melalui perbicaraan panjang, mungkin ditahan dan berdepan tekanan masyarakat,” jelasnya.
Menurutnya, situasi lebih membimbangkan dalam kes jenayah berat termasuk kes dadah yang membawa hukuman mati, apabila kegagalan mendapatkan rakaman CCTV dengan segera boleh menjejaskan hak tertuduh untuk mendapat perbicaraan yang adil.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya peguam dibenarkan memohon terus kepada Majistret bagi mendapatkan perintah pemeliharaan rakaman dalam kes mendesak, dengan pendengaran dibuat secara segera dalam tempoh 24 hingga 48 jam.
Katanya, selepas laporan polis dibuat dan permohonan berserta alasan munasabah difailkan, mahkamah boleh segera mengeluarkan perintah bagi membekalkan rakaman tersebut kepada peguam.
“Ini bukan soal memudahkan peguam, tetapi memastikan keadilan tidak gagal hanya kerana bukti sudah terpadam,” tegasnya.
Beliau sekali lagi menggesa Kementerian Undang-Undang dan Reformasi Institusi Malaysia membentangkan Rang Undang-Undang baharu di Parlimen bagi mewujudkan prosedur khas berkaitan pembekalan bukti digital.
Menurutnya, reformasi itu perlu diberi keutamaan segera agar sistem keadilan jenayah lebih responsif dan tidak terus dibelenggu kelewatan prosedur. -MalaysiaGazette
















