Chow Kon Yeow.

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Chow Kon Yeow menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan terhadap seorang Exco kerajaan negeri yang didakwa memukul isterinya di Pantai Jerejak di sini, 22 Februari lalu.

Beliau memandang serius perkara berkenaan namun pada peringkat ini memberi ruang sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat laporan yang dibuat.

“Saya terima mesej daripada Yang Berhormat yang memohon maaf atas perkara yang berlaku dan beliau memaklumkan ia adalah satu masalah keluarga antara pasangan suami isteri.

“Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terbabit memberi kerjasama kepada pihak polis dalam siasatan yang dijalankan.

“Selain itu, saya juga dimaklumkan kedua-dua pihak telah menarik laporan polis masing-masing berhubung insiden berkenaan,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas sama ada exco berkenaan direhatkan sementara daripada tugasnya susulan insiden berkenaan.

Terdahulu, Kon Yeow hadir Majlis Tahlil dan Buka Puasa Gabungan Liga Muslim Pulau Pinang di Masjid Kapitan Keling di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Kon Yeow berkata, pihaknya berharap Exco berkenaan akan memaklumkan kepada kerajaan negeri atau parti sekiranya terdapat sebarang perkembangan lanjut.

“Kalau dua-dua suami isteri ada apa-apa rancangan atau tindakan seterusnya, kita menghormati proses itu.

“Pada peringkat ini, kita tunggu mereka fikirkan apakah tindakan seterusnya, yang terbaik untuk keluarga mereka,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast