Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar

KUALA LUMPUR — Pelantikan Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu disifatkan sebagai langkah strategik memperkukuh peranan pembangkang khususnya mendepani landskap politik dan ekonomi negara yang semakin mencabar.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Ab. Halim Tamuri berkata, kepimpinan Ahmad Samsuri diyakini mampu membawa pendekatan lebih profesional, rasional berteraskan penyelesaian selari dengan keperluan politik semasa.

Datuk Dr. Ab Halim Tamuri

Menurut beliau, kombinasi pengalaman dalam tadbir urus negeri serta latar belakang sebagai tokoh ilmuwan memberikan kelebihan tersendiri dalam menerajui gabungan itu secara berprinsip dan berintegriti.

“Kepimpinan Ahmad Samsuri mencerminkan pendekatan yang profesional dan rasional. Pengalaman beliau dalam tadbir urus negeri serta latar belakang sebagai tokoh ilmuwan memberikan keyakinan bahawa kepimpinan boleh dilaksanakan secara berprinsip, berintegriti dan berorientasikan hasil,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Ab Halim, dalam suasana politik yang semakin kompleks, negara memerlukan barisan pembangkang yang bukan sekadar lantang mengkritik malah berupaya mengemukakan cadangan dasar yang realistik, praktikal dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat.

Mengulas konteks di Selangor, beliau menegaskan, negeri itu memerlukan kepimpinan yang memahami realiti masyarakat majmuk serta kepesatan ekonomi yang sentiasa berubah.

Katanya, aspek tadbir urus yang berkualiti dan kejelasan dasar bukan sahaja mempengaruhi kestabilan pentadbiran malah memberi kesan langsung terhadap keyakinan pelabur, peluang pekerjaan, mutu pendidikan serta keharmonian antara kaum dan agama.

“Pas Selangor komited untuk menyumbang secara konstruktif dalam PN dengan membawa pendekatan politik yang inklusif, berprinsip dan berpaksikan polisi awam yang adil serta praktikal untuk semua lapisan masyarakat,” katanya.

Ahad lalu, Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas itu dilantik sebagai Pengerusi PN yang baharu, berkuat kuasa serta-merta.

Pelantikan tersebut disahkan menerusi kenyataan bersama empat presiden parti komponen gabungan berkenaan selepas Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN di ibu pejabat Pas, membabitkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau; dan Presiden Parti Rakyat India Malaysia, P. Punithan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast