Logo Suhakam

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia menegaskan tiada sebarang penyelewengan dana atau aset mahupun apa-apa bentuk salah laku telah berlaku.

Menjelaskan Laporan Ketua Audit Negara yang menyatakan Suhakam “tidak dapat mengesahkan baki tunai dan bank berjumlah RM0.75 juta setakat 31 Disember 2024”, suruhanjaya ini berkata, perkara ini timbul akibat kekangan isu teknikal susulan penaiktarafan sisstem perakaunannya.

Katanya, pada penghujung tahun 2022, Suhakam telah beralih kepada sistem aplikasi kewangan baharu yang dipertingkatkan berasaskan Sistem Perakaunan Standard bagi agensi kerajaan, yang menggabungkan piawaian dan amalan pelaporan perakaunan sektor awam yang terkini.

Dalam proses peralihan ini, rekod tunai dan bank terdahulu telah dipindahkan ke dalam modul Penyata Penyesuaian Bank dalam sistem baharu tersebut.

Seperti yang dinyatakan dalam dapatan audit, terdapat beberapa transaksi yang melebihi tempoh penyesuaian yang ditetapkan.

Transaksi ini melibatkan catatan jurnal semasa proses peralihan, pelarasan jurnal terkumpul, serta pembatalan bayaran terkumpul yang dilaksanakan sejak tahun 2022.

Berikutan itu, baki tunai dan bank berjumlah RM754,592 setakat 31 Disember 2024 tidak dapat disahkan semasa audit disebabkan oleh perbezaan yang dijana sistem melibatkan unreconciled disbursements (pembayaran yang belum diselaraskan) berjumlah RM13.56 juta dan unreconciled receipts (resit yang belum diselaraskan) berjumlah RM12.88 juta, yang berpunca daripada tempoh peralihan sistem.

“Keadaan ini mewujudkan varians pelaporan apabila pihak Audit Negara memadankan penyata akaun bank Suhakam dengan laporan penyesuaian bank yang dijana oleh sistem baharu.

“Bagaimanapun, baki tunai dan bank sebenar kekal utuh. Varians tersebut tidak menjejaskan kedudukan kewangan keseluruhan Suhakam mahupun integriti aset yang dilaporkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Suhakam lagi, varians teknikal ini sedang ditangani secara berperingkat dan akan diselesaikan sepenuhnya dalam Penyata Kewangan 2025, yang mana penyelarasan antara sistem perakaunan yang dikemas kini dengan keperluan pengesahan audit akan dimuktamadkan.

“Kenyataan audit tersebut mencerminkan had pengesahan yang timbul akibat isu penaiktarafan sistem dan pembentangan penyesuaian dan bukannya menunjukkan kehilangan dana, kerugian kewangan atau sebarang keraguan terhadap integriti kedudukan tunai Suhakam.

“Suhakam telah mengambil langkah-langkah pembetulan bagi menangani perkara ini serta memperkukuh proses penyesuaian dan pelaporan kewangan.

“Perbezaan penyesuaian sedang diselesaikan secara berperingkat, proses kawalan dalaman telah diperkukuh dan penambahbaikan akan dapat dilihat dalam Penyata Kewangan 2025,” jelasnya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast