KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan mengetahui sama ada beliau dibebaskan terus (DNA) atau dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada 47 pertuduhan melibatkan penyelewengan dana Yayasan Akalbudi.
Perkembangan itu akan ditentukan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini susulan permohonan Timbalan Perdana Menteri agar beliau diberi pembebasan penuh daripada kesemua 47 pertuduhan.
Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor dijadual mendengar penghujahan pasukan peguam mewakili Ahmad Zahid dan hujahan balas pihak pendakwaan jika terdapat bantahan terhadap permohonan tersebut.
Pada prosiding lalu, peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik memaklumkan, permohonan pembebasan penuh dikemukakan berikutan tindakan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tidak mengenakan tindakan lanjut (NFA) ke atas kes dihadapi Ahmad Zahid.
Beliau berkata, perkembangan itu mewajarkan mahkamah untuk membebaskan sepenuhnya Timbalan Perdana Menteri daripada 12 pertuduhan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram.
Menurut Hisyam, anak guamnya yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk diberi perintah DNAA oleh Mahkamah Tinggi di sini pada 4 September 2023, justeru tidak adil jika pertuduhan berkenaan masih tergantung untuk tempoh yang tidak diketahui.
Bagaimanapun, Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan II Datuk Badius Zaman Ahmad memohon supaya pendengaran permohonan ditangguhkan kerana pihaknya baru menerima notis permohonan.
Pada prosiding itu, Hakim Nurulhuda Nur’aini kemudian mengarahkan responden memfailkan afidavit jawapan pada atau sebelum 13 Februari dan menetapkan pendengaran permohonan hari ini.
Pada 8 Januari, AGC menerusi kenyataan media memuktamadkan kes berkenaan bahawa tiada tindakan lanjut (NFA) diambil terhadap 47 pertuduhan yang dihadapi Timbalan Perdana Menteri.
Pada 12 Januari lalu, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar menegaskan, keputusan untuk mengklasifikasikan kes Ahmad Zahid sebagai tiada tindakan lanjut dibuat hanya selepas pihak pendakwaan mengkaji dengan teliti enam representasi yang dikemukakan oleh Presiden UMNO itu.
Kata beliau, siasatan lanjut pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia turut merangkumi aspek berkaitan sumber dana, kaedah perolehan serta penggunaan dana tersebut.
Jabatan itu mendapati keterangan yang ada tidak mencukupi untuk menyokong pendakwaan diteruskan bagi semua pertuduhan. – MalaysiaGazette
















