Pegawai JPJ menahan pemilik lori yang juga tonto berdekatan Puncak Alam dalam Op Middleman hari ini.

PUTRAJAYA –  Seramai 12 individu termasuk tiga pegawai penguat kuasa ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disyaki mendalangi kartel tonto berkait rasuah bagi melindungi pemilik lori yang beroperasi di seluruh Semenanjung.

Tangkapan itu dilakukan menerusi beberapa siri serbuan membabitkan kediaman dan syarikat di sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan menerusi operasi khas Op Middleman yang bermula jam 5 pagi tadi.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, kesemua suspek lelaki ditahan antara jam 5.30 hingga 7 pagi tadi menerusi operasi bersepadu yang dilaksanakan Bahagian Perisikan SPRM bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Sembilan suspek disyaki menjadi ejen dan orang tengah telah menawarkan dan memberi rasuah antara RM100 hingga RM4,500 setiap bulan kepada pegawai penguat kuasa JPJ Kuala Lumpur dan Selangor.

“Ia (suapan) sebagai balasan untuk melindungi dan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap lori-lori mereka di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333),” katanya pada pemberita hari ini.

Pihak SPRM merampas wang tunai di dalam kenderaan di percayai tujuan suapan kepada pihak berkuasa. FOTO SPRM

Tambah beliau berdasarkan hasil risikan selama enam bulan yang dijalankan, SPRM mendapati sindiket terbabit melindungi pelbagai bentuk kesalahan kenderaan perdagangan di seluruh Semenanjung.

“Dalam kes Op Middleman ini, kita percaya sekurang-kurangnya 300 syarikat telah membayar rasuah kepada sindiket ini dan kita berjaya melumpuhkan sindiket tonto yang paling besar di Lembah Klang.

“Penglibatan sindiket tersebut telah memberi kesan mendalam kepada operasi yang dilaksanakan pihak berkuasa sebelum ini kerana terdapat kebocoran maklumat hasil daripada tindakan segelintir anggota penguatkuasa terlibat yang bersekongkol dengan sindiket itu,” jelasnya.

Antara wang ringgit yang dirampas dalam serbuan di beberapa kediaman sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan menerusi operasi khas ‘Op Middleman’ yang bermula jam 5 pagi tadi. Foto SPRM

Jelas Ahmad Khusairi, SPRM turut mendapati, jutaan ringgit disalurkan oleh pihak syarikat kepada orang tengah dan sindiket itu untuk disampaikan kepada pegawai atau anggota- anggota penguat kuasa.

“Operasi ini salah satu daripada kes yang kami nak gambarkan kepada umum dan pihak berkuasa yang terlibat bagaimana sistematik dan juga sistemiknya pelakuan jenayah rasuah melibatkan orang tengah.

“Selama ini kegagalan operasi dilaksanakan pihak berkuasa gagal kerana disebabkan oleh perlindungan daripada sindiket yang berkaitan,” ujarnya.

Pegawai JPJ menahan pemandu warga asing yang dikesan tidak memiliki lesen dan permit membawa kenderaan berat dalam Op Middleman hari ini.

Mengenai modus operandi sindiket ini, beliau menjelaskan, ejen atau orang tengah akan memasukkan wang rasuah ke dalam akaun keldai dan kemudiannya dikeluarkan oleh pegawai penguat kuasa terlibat.

Bagaimanapun, Ahmad Khusairi berkata, siasatan kini menjurus kepada kesalahan di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya bersama Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli.

Sementara itu, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya akan memberikan komitmen penuh untuk bekerjasama rapat dengan SPRM.

Ia termasuk berkongsi maklumat risikan, memperkukuh mekanisme pemantauan dalaman an mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai yang didapati bersekongkol dengan sindiket.

“JPJ dan SPRM sudah mengadakan pertemuan semalam dan perbincangan untuk memastikan setiap tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan secara lebih berkesan, menyeluruh dan berintegriti,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast