KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendapati berlaku kecuaian oleh pegawai RELA yang bertugas sebagai Pegawai Lapang Sasar dan Pegawai Tapak semasa latihan senjata api di Pusat Latihan RELA Wilayah Utara (PLRWU) pada 15 November 2024, yang mengakibatkan seorang peserta cedera.
EAIC dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, siasatan turut mendapati pihak pengurusan PLRWU tidak mengemukakan laporan polis dan laporan rasmi kepada Ibu Pejabat RELA berhubung insiden tersebut.
Selain itu, katanya, berlaku ketidakpatuhan terhadap Syarat Kelulusan Lesen/Permit Sementara Senjata Api yang dikeluarkan oleh pihak Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah semasa latihan tersebut dijalankan, yang mensyaratkan setiap penembak dibantu oleh pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sehubungan itu, tambahnya, EAIC memutuskan untuk merujuk hasil siasatan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib RELA dengan syor tindakan tatatertib terhadap pegawai yang terlibat.
“Jelasnya, tindakan tatatertib itu atas kesalahan di bawah perenggan 4(2)(j) kerana cuai dalam menjalankan tugas sebagaimana diperuntukkan di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) (Pindaan) 2002,” katanya.
Tambah kenyataan itu, EAIC turut mengesyorkan pelaksanaan pemurnian dan semakan semula semua SOP berkaitan pengendalian dan latihan senjata api oleh RELA bagi memastikan ia sejajar dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Terdahulu, EAIC memaklumkan pihaknya turut menerima aduan berhubung kejadian itu yang didakwa tidak mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa. – MalaysiaGazette
















