KUALA LUMPUR — Stesen televisyen swasta 24 jam, Astro Awani masih belum mengumumkan pengganti jawatan Ketua Pengarang yang dikosongkan Ashwad Ismail selepas dilantik sebagai Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia.
Kekosongan tersebut kini menjadi topik utama perbualan dalam kalangan warga media dan pemerhati industri.
Sehingga berita ini disiarkan, tiada sebarang kenyataan media atau pengesahan rasmi daripada pihak pengurusan tertinggi Astro Awani berhubung pengganti Ashwad.
Situasi ini menimbulkan tanda tanya siapakah yang bakal memikul tanggungjawab besar mengemudi hala tuju editorial ketika landskap media semakin mencabar dan persaingan digital cukup sengit.
Dalam masa yang sama, nama Zaiful Mohd Ariffin mula disebut-sebut sebagai calon paling layak untuk meneruskan kesinambungan kepimpinan media tersebut.
Zaiful kini memegang jawatan Pengarang Eksekutif serta menerajui Editorial Services & Business Development, dilihat mempunyai kelebihan sebagai orang dalam yang memahami sepenuhnya operasi dan budaya kerja bilik berita tersebut.
Zaiful juga bukan figura asing dalam organisasi itu.
Beliau antara anggota perintis yang membantu menubuhkan Astro Awani pada 2007 sebagai saluran berita dan hal ehwal semasa 24 jam pertama negara.
Sebelum itu, beliau berkhidmat di stesen ntv7 selama enam tahun bermula 2000 sebelum dinaikkan pangkat sebagai Penolong Penerbit dan seterusnya Penerbit.
Kerjayanya lebih awal bermula di Bernama pada 1997 sebagai wartawan berita am dan sukan, dengan pengalaman membuat liputan pelbagai acara antarabangsa berprofil tinggi.
Di Astro Awani, beliau pernah menjawat jawatan Pengarang Input Kanan sebelum dinaikkan sebagai Pengarang Eksekutif, dengan skop tugas meliputi pengumpulan berita, penerbitan, perancangan sumber, pemasaran kandungan serta pengkomersialan.
Namun, semua ini masih di peringkat spekulasi. – MalaysiaGazette
















