KUALA LUMPUR – Sebanyak 37 kejadian kematian melibatkan mahasiswa direkodkan di kampus universiti awam sepanjang tempoh lima tahun dari 2021 hingga 2025, dengan majoritinya berpunca daripada kemalangan dan kematian mengejut.
Daripada jumlah itu, 18 kes melibatkan kemalangan, manakala, 19 lagi dikategorikan sebagai kematian mengejut dan tiada kes jenayah direkodkan setakat ini.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli berkata, walaupun angka tersebut kecil berbanding keseluruhan populasi mahasiswa dalam tempoh berkenaan, kementerian komited untuk memastikan tiada lagi insiden seumpama itu berlaku pada masa hadapan.
Menurut beliau, keselamatan dan kesejahteraan mahasiswa sepanjang tempoh pengajian di kampus menjadi keutamaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), dengan penekanan terhadap persekitaran kampus yang selamat dan kondusif.
Sehubungan itu katanya, KPT telah mengeluarkan arahan rasmi kepada semua institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta supaya melaksanakan pemeriksaan keselamatan secara menyeluruh dan berkala.
“Ia merangkumi semakan sistem keselamatan di kampus dan kediaman pelajar termasuk keberkesanan kawalan akses, sistem televisyen litar tertutup (CCTV), pemasangan kamera tambahan serta penyediaan laluan yang terang dan selamat.
“Selain itu, kementerian turut memastikan semakan semula prosedur operasi standard berkaitan keselamatan dan kecemasan dilaksanakan, termasuk prosedur keluar masuk pelawat di asrama serta mekanisme respons pantas sekiranya berlaku insiden,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Ir Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) yang meminta kementerian menyatakan statistik kejadian di IPT yang meragut nyawa pelajar dalam lima tahun kebelakangan ini dan apakah perancangan jangka masa pendek, sederhana dan panjang bagi memastikan perlindungan serta keselamatan kampus ditambah baik secara menyeluruh.
Dalam pada itu, Adam memaklumkan, manual rujukan permohonan dan penggunaan kenderaan bukan milikan universiti KPT telah dibangunkan dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia bagi memperkemas tatacara penggunaan kenderaan.
Pada masa sama beliau berkata, satu pasukan petugas kebajikan mahasiswa universiti awam sedang dibangunkan bagi memastikan penggunaan kenderaan dilaksanakan secara terancang, telus serta mematuhi piawaian keselamatan, kewangan dan tadbir urus.
KPT juga katanya, memperkukuh kerjasama strategik bersama Polis Diraja Malaysia dan pihak berkuasa tempatan bagi meningkatkan kehadiran polis komuniti serta rondaan keselamatan di kawasan IPT termasuk di luar kampus.
Beliau menjelaskan, langkah tersebut bertujuan mencegah sebarang potensi jenayah serta memperkukuh aspek keselamatan jalan raya dengan kementerian turut memainkan peranan aktif sebagai pemegang taruh dalam jawatankuasa keselamatan dan kesesakan jalan raya berkaitan kemalangan.
“Semua langkah ini adalah usaha berterusan dalam jangka masa pendek, sederhana dan panjang bagi memastikan keselamatan mahasiswa terus terbela serta warga kampus sentiasa berada dalam keadaan selamat,” katanya. – MalaysiaGazette
















