KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan bekalan stok semasa beras negara mencecah 1,089,285 metrik tan setakat 3 Februari lalu- mencukupi untuk menampung keperluan selama 5.45 bulan.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 200,000 metrik tan merupakan stok penimbal beras manakala 889,285 metrik tan lagi adalah stok dagangan.
Menurut beliau, KPKM sentiasa komited memastikan kesinambungan bekalan makanan negara menerusi pelaksanaan Dasar Agromakanan Negara 2021–2030 (DAN 2.0) dan Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030 (DKMN 2030) yang merangka strategi menyeluruh bagi memperkukuh daya tahan sistem agromakanan negara.
“Antara langkah utama dilaksanakan termasuk pelaksanaan Projek Rintis Penanaman Padi Lima Musim dalam tempoh dua tahun melibatkan kawasan seluas 3,000 hektar secara berperingkat bermula 2024 di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).
“Selain itu, kerajaan turut menaik taraf dan memodenkan sistem pengurusan air sektor pertanian secara berfasa melalui pembangunan dan penyelenggaraan Skim Pemindahan Air Jeniang Fasa II bagi mengoptimumkan pengurusan air ketika musim banjir dan kemarau,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Zakri Hassan (PN-Kangar) mengenai bagaimana kementerian memastikan kesinambungan bekalan makanan negara ketika berlaku bencana seperti banjir dan perubahan iklim yang menjejaskan pengeluaran hasil.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, dalam usaha melindungi pesawah, KPKM menyediakan Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) yang menawarkan pampasan sehingga RM3,000 sehektar bagi tanaman yang rosak akibat bencana.
Pada masa sama, beliau berkata, Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) disalurkan sebagai bantuan segera kepada kumpulan sasar terjejas akibat bencana, penyakit tanaman atau serangan perosak.
Bagi tahun lalu, sebanyak RM5.04 juta bantuan telah disalurkan kepada 2,255 pesawah melibatkan kawasan musnah seluas 3,253.4 hektar.
“KPKM juga mempergiat aktiviti penyelidikan, pembangunan dan inovasi (R&D&C&I) melalui Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi membangunkan varieti padi toleran kemarau, banjir, saliniti dan cuaca ekstrem seperti MR333, MR297, MR315, MR307, MR284, MRQ76 serta varieti baharu tahan kemarau MR380, MR381 dan MR382,” ujarnya.
Bagi sektor akuakultur pula, KPKM memperkukuh Pelan Pembangunan Baka dan Benih Akuakultur menerusi Program Nucleus Breeding Centre (NBC) dan Broodstock Multiplier Centre (BMC) bagi menghasilkan benih serta induk yang lebih berdaya tahan terhadap perubahan iklim.
Untuk industri ruminan, Program Peningkatan Ruminan dan Program Pembiakbakaan Ternakan Ruminan dilaksanakan melalui teknologi pembiakan berbantu untuk meningkatkan populasi induk pembiak berkualiti tempatan, selain pelaksanaan Program Insentif Galakan Peningkatan Produktiviti Lembu Pedaging ke arah purata kadar kelahiran nasional 60 peratus (PIKK60 peratus).
Dalam masa sama, KPKM juga membangunkan serta memperluas sistem amaran awal bagi menangani serangan perosak seperti bena perang dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).
“Kerajaan turut mengeratkan hubungan dengan negara pembekal bahan makanan utama termasuk negara-negara ASEAN, China, India, Pakistan, Brazil, Australia dan New Zealand bagi memastikan rantaian bekalan makanan negara kekal stabil,” kata beliau. – MalaysiaGazette
















